ARTIKEL

PKP: Wujudkan kerjasama pintar antara universiti untuk hantar pulang pelajar ke kampung

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA NERUS: Seorang pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencadangkan agar kerajaan mewujudkan kerjasama pintar antara universiti bagi membolehkan proses penghantaran pulang pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ke kampung halaman masing-masing pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Ketua Makmal Penyelidikan Institut Oseanografi dan Sekitaran UMT, Dr Mohd Uzair Rusli berkata sebelum kaedah itu digunakan, pelajar perlulah melalui proses tertentu dan didapati sihat daripada sebarang gejala COVID-19.

Beliau berkata penghantaran pelajar pula mestilah menggunakan bas universiti dan bukannya pengangkutan awam bagi tujuan keselamatan dan mengelak daripada sebarang risiko dijangkiti.

“Sebagai contoh, UMT akan menghantar pulang pelajar ke Johor dan bas sama juga digunakan untuk mengangkut anak-anak Terengganu yang menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sana untuk pulang ke sini.

“Langkah ini boleh dilaksanakan kerana kita memiliki universiti awam di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Jumaat lepas, Menteri Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Noraini Ahmad berkata pihaknya akan meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pelajar yang berada di kampus ke rumah masing-masing susulan lanjutan PKP sehingga 28 April ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mencadang dan menasihat KPT supaya bersabar dalam tempoh seminggu dua sebelum membenarkan pelajar IPT pulang ke kampung masing-masing.

Bagi mengurangkan lagi risiko jangkitan, Mohd Uzair turut mencadangkan supaya setiap universiti membekalkan pelajar dengan makanan supaya mereka tidak perlu singgah lebih lama di mana-mana Kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

“Perkongsian bijak sesama universiti akan menjimatkan wang dan lebih penting mengelak risiko jangkitan COVID-19. Pelajar juga akan lebih selesa dan ceria menyambung sesi pembelajaran secara dalam talian di kampung bersama keluarga masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Asasi Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) UMT, Dr Laili Che Rose berpendapat kebajikan pelajar kini berada pada tahap yang baik dan seeloknya terus kekal di kampus.

Beliau berkata sebagai ibu kepada dua anak yang juga sedang belajar di universiti tempatan dan luar negara, beliau amat memahami keresahan serta kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan dan kebajikan anak mereka.

“Ketika ini keseimbangan telah dicapai apabila pelajar di kampus berada dalam kesihatan yang baik, begitu juga ibu bapa mereka di kampung. Tetapi bayangkan bagaimana sekiranya keseimbangan itu digangggu kerana saya yakin, pasti akan ada yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika dalam pergerakan dari kampus ke kampung masing-masing.

“Malah, mungkin ada pelajar yang kampungnya dikategorikan sebagai zon merah dan ini akan mendedahkan mereka kepada risiko yang tidak diingini,” katanya.

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU

Liputan Internet Kota Sentosa capai 98.5 peratus

KUCHING: Liputan Internet mengikut kawasan penempatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa kini mencapai 98.5 peratus, kata Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk

Polis Sahkan Pegawai Kastam Maut Dipercayai Dibunuh Suami

NILAI: Seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditemukan maut dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian di Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.