ARTIKEL

PKPB lagi, mampukah rakyat bertahan?

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

APA nak jadi, setelah lebih tujuh bulan melawan Covid-19, kini Malaysia kembali berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kes-kes positif Covid-19 meningkat dengan mendadak.

Jumlahnya bukan sedikit, namun telah mencecah kepada empat angka.

Pada peringkat awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, jelas rakyat Malaysia amat mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP), yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kes-kes positif Covid-19 ketika itu juga terkawal, iaitu sekitar dua angka.

Berpandukan trend dan situasi semasa Covid-19 ketika itu, kerajaan telah melonggarkan PKP menjadi PKPB mulai 4 Mei.

Selain itu, kerajaan juga memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat.

Bagi marhaen, keputusan kerajaan melaksanakan PKPB amat dinanti-nantikan, setelah lebih satu bulan setengah terkurung di rumah.

Sikap berhati-hati dan kebimbangan terhadap jangkitan Covid-19 juga masih menebal.

Pun begitu, pada awal September, ramai yang mula alpa untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Di sesetengah tempat, pelanggan sendiri yang terpaksa mengambil suhu badan, ada yang tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal.

Norma baharu kian diabaikan, seperti kita telah bebas daripada ancaman Covid-19. Natijahnya, kini kita berhadapan semula dengan gelombang ketiga Covid-19.

Pada masa yang sama, pelbagai insentif dan bantuan seperti moratorium, data Internet percuma, bantuan tunai dan sebagainya telah berakhir pada September lepas.

Hal ini secara tidak langsung telah memberi kesan kepada sosioekonomi rakyat, khususnya kepada mereka yang berada dalam sektor swasta.

Justeru, pelaksanaan semula PKPB yang bermula pada 9 November lepas, tentunya menyukarkan kembali hidup rakyat.

Persoalannya sekarang, mampukah rakyat mengharungi PKPB dalam keadaan ekonomi dunia dan domestik yang perlahan. Bagi satu pihak, pelaksanaan PKPB penting untuk melandaikan lekuk jangkitan.

Namun bagi rakyat, pelaksanaan semula PKPB bakal menjejaskan sumber pencarian dan meningkatkan potensi kehilangan pekerjaan.

Sehingga penghujung Oktober lepas, hampir 90,000 telah kehilangan pekerjaan seperti yang dilaporkan oleh Pertubuhan Keselamatan pekerjaan (Perkeso).

Jumlah tersebut tentunya lebih besar, sekiranya kita mengambil kira mereka yang bekerja sendiri seperti penjaja pasar malam, buruh binaan bergaji hari dan sebagainya.

Kebanyakan golongan ini tidak berdaftar dengan Perkeso dan hal ini tidak melayakkan mereka menikmati subsidi upah dan insurans pekerjaan.

Sehubungan itu, ramai yang berharap agar kerajaan mempertimbangkan pengeluaran wang dari Akuan 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP), tanpa perlunya syarat seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam belanjawan Jumaat lepas.

Bagi marhaen, keperluan mendesak pada hari ini, lebih utama daripada simpanan pada usia tua kelak.

Selain itu, marhaen turut berharap agar kerajaan dapat melanjutkan semula tempoh moratorium kepada semua peminjam, sekurang-kurangnya untuk enam bulan lagi.

Setakat ini, pelanjutan moratorium hanya diberikan kepada individu yang memohon sebelum penghujung September lepas.

Dalam konteks Sarawak, bulan ini tiada lagi diskaun sebanyak 23 peratus daripada Kerajaan Sarawak dalam bil elektrik.

Hanya diskaun sebanyak dua peratus yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Hal ini pasti meningkatkan lagi kos kehidupan rakyat. Justeru, marhaen berharap agar inisiatif diskaun bil elektrik ini diteruskan, memandangkan Sarawak merupakan negeri yang mempunyai sumber elektrik paling murah di Malaysia.

Di sisi yang lain, bukankah Sarawak baharu sahaja menerima RM2.95 bilion daripada Petronas untuk bayaran Cukai Jualan Negeri (SST).

Rakyat pasti gembira, sekiranya wang tersebut digunakan untuk manfaat semua.

Tambahan pula, penutupan sekolah di Daerah Kuching sejak dua minggu lepas pasti meningkatkan jumlah penggunaan elektrik.

Dalam beberapa keadaan, marhaen jarang meminta dan bergantung harap sepenuhnya dengan pihak kerajaan.

Kehidupan yang mencabar semasa pendemik Covid-19, cuba diatasi dengan pelbagai ikhtiar, termasuk mencuba sesuatu yang baharu.

Jelas, marhaen cuba bangkit untuk mencari semula kekuatan dalam mengharungi kehidupan yang berubah dalam sekelip mata.

Justeru, pentingnya inisiatif-inisiatif berimpak tinggi yang mampu membantu rakyat pada masa ini.

Kini, rakyat sedang menanti, apakah kebijaksanaan baharu yang bakal dilaksanakan untuk menimbal kesempitan hidup rakyat.

Dalam hal ini, rakyat bukan meminta, namun hanya menuntut janji.

• Dilah Tuah ialah ahli akademik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak.

BERITA LAIN

Bina impian anak Sarawak

SETIAP kali Belanjawan Sarawak dibentangkan, perhatian masyarakat lazımnya tertumpu pada angka peruntukan, projek pembangunan dan pelan ekonomi negeri. Namun, ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

BERITA TERBARU

MBKS bandar pelancongan bersih ASEAN

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menerima pengiktirafan ASEAN Clean Tourist City Standard bagi tempoh 2026 hingga 2028, sekali gus mengekalkan pencapaian itu untuk kali