KUCHING: Calon Ahli Parlimen dari Sarawak, khususnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), perlu dipertimbangkan untuk mengisi kekosongan dalam rombakan Kabinet Persekutuan yang dijangka berlaku dalam masa terdekat.
Penganalisis politik, Dr Lee Kuok Tiung berkata, langkah itu penting bagi mencerminkan semangat inklusiviti dalam pentadbiran negara.
Selain Ahli Parlimen PKR dari Sarawak, beliau turut mencadangkan agar salah satu jawatan tersebut diberikan kepada Ahli Parlimen Kinabatangan (UMNO), Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Bagaimanapun, keputusan melantik pengganti bagi Rafizi Ramli dan Nik Nazmi terletak sepenuhnya di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini kerana kedua-dua jawatan itu adalah kuota PKR,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Selain itu, Dr Lee memaklumkan terdapat ura-ura yang menyebut bekas menteri Khairy Jamaluddin, atau lebih dikenali sebagai KJ, berpotensi menjadi calon bagi salah satu kekosongan tersebut.
“Ada khabar angin bahawa KJ akan kembali ke Kabinet. Memandangkan beliau bukan Ahli Parlimen atau wakil mana-mana parti, ini sesuatu yang unik dalam dinamik politik Malaysia.
“KJ dikenali sebagai pemimpin sederhana, teknokratik dan progresif yang pasti menjadi nilai tambah kepada Kabinet PMX,” katanya lagi.
Walaupun Rafizi dan Nik Nazmi sudah mengumumkan peletakan jawatan, Dr Lee menjelaskan bahawa peletakan jawatan mereka belum berkuat kuasa kerana masih dalam tempoh cuti.
Dr Lee turut menyentuh kemungkinan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz yang baru melepaskan keahlian UMNO dan memohon masuk PKR akan mempengaruhi kuota kementerian UMNO.
“Memandangkan beliau memegang jawatan kuota UMNO, kemungkinan UMNO akan menuntut kembali kuota tersebut. Ini bererti salah satu jawatan kosong mungkin diperuntukkan kepada wakil UMNO,” ujarnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan tiada keperluan mendesak untuk rombakan Kabinet dilakukan dan menegaskan kerajaan tetap berfungsi walaupun selepas peletakan jawatan dua menteri tersebut.


