ARTIKEL

KUSKOP

PKS Cina Sarawak Digesa Rebut Peluang Pembiayaan KUSKOP

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemilik perniagaan Cina di Sarawak digesa agar merebut peluang pembiayaan yang ditawarkan kerajaan bagi menyokong pertumbuhan serta transformasi perniagaan mereka.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, ia susulan pengumuman terbaharu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang menambah peruntukan sebanyak RM100 juta untuk perusahaan mikro dan kecil milik masyarakat Cina, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan dana berkenaan meningkat kepada RM230 juta.

“Skim pembiayaan itu mampu memberikan sokongan kukuh kepada perniagaan, sama ada bagi syarikat baharu yang ingin memulakan operasi mahupun untuk mengembangkan perniagaan sedia ada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, daripada peruntukan awal RM130 juta, kira-kira RM90 juta diluluskan di seluruh negara setakat ini, sekali gus menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan.

Bagi Sarawak pula, katanya, permohonan berjumlah RM16.8 juta diterima dengan RM10.45 juta daripadanya diluluskan dan disalurkan, manakala baki permohonan masih menunggu dokumentasi lanjut.

“Tambahan peruntukan itu akan dilaksanakan menerusi program SUCCESS oleh SME Bank, sekali gus memperkukuh sokongan kerajaan kepada komuniti perniagaan Cina,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan bahawa skim berkenaan menawarkan beberapa kelebihan, termasuk kadar faedah yang rendah, tanpa keperluan cagaran serta proses kelulusan yang jauh lebih pantas.

“Kemudahan itu mampu mengurangkan tekanan pembiayaan yang dihadapi PKS dengan ketara. Malah, pinjaman tersebut turut memberi keutamaan kepada pemohon yang sebelum ini belum pernah memperoleh pembiayaan bank.

“Ini sekali gus membantu lebih ramai usahawan Cina memasuki sistem kewangan formal buat kali pertama,” katanya lagi.

Selain itu jelasnya, kerajaan juga komited untuk melonggarkan syarat permohonan selagi pemohon memenuhi kriteria asas kewangan dan pematuhan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Jalai Balingian–Sungai Anak patut diadu manah

KUCHING: Pengawa ngintu, ngadu sereta nangkir Jalai Perintah Besai Balingian–Sungai Anak ti nyambung rentayan Jalai Besai Pan Borneo begunaka perati dikena nambahka pengelikun enggau pejalai