KUALA TERENGGANU: Usahawan dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) disaran lebih serius dan tidak boleh bersikap sambil lewa dalam mendalami aplikasi e-dagang bagi memastikan kelangsungan perniagaan.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT) Dr Tengku Khairi A Rahman berkata ada sesetengah usahawan hanya bersemangat pada peringkat awal tetapi mudah berputus asa sehingga hilang kreativiti.
Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lepas telah membuktikan bahawa urus niaga yang dijalankan dalam talian berjaya meningkatkan hasil pendapatan kepada usahawan.
“Sekiranya PKS tidak mendalami aplikasi ini, tidak mustahil perniagaan akan lenyap begitu sahaja. Sebagai permulaan mereka boleh menyertai kursus asas perniagaan secara dalam talian yang ditawarkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) .
“Terdapat beberapa kursus di bawah pakej PENJANA yang tempoh masanya hanya sehari hingga lima hari yang ada antaranya ditawarkan secara percuma. DPPMT juga menawarkan khidmat rundingan membantu usahawan yang berminat mempelajari kaedah pemasaran digital mahupun pendigitalan operasi PKS,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Tengku Khairi berkata berdasarkan tinjauan pihaknya baru-baru ini, sepanjang PKP tahun lepas, pengguna di Malaysia didapati mengutamakan perbelanjaan dalam talian untuk penghantaran makanan selain bahan makanan, pakaian, produk kecantikan dan suplemen kesihatan.
Tambahnya, untuk tempoh Januari hingga September tahun lepas Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) merekodkan sebanyak 299,431 pendaftaran perniagaan baharu dan 86,295 daripadanya adalah perniagaan dalam talian.
“Ia menunjukkan peniaga sudah ramai ke arah itu (e-dagang), cuma bagaimana PKS hendak bertahan dan bersaing terutama dalam mencapai sasaran jualan yang seiring dengan perkhidmatan lebih berkualiti,” katanya.
Sehubungan itu, Tengku Khairi berkata usahawan disaran menilai dan memperbaiki beberapa aspek dalam meningkatkan penguasaan e-dagang dalam tempoh pendemik ini.
Antaranya ialah dengan menilai semua cara komunikasi dengan pelanggan, mengemas kini data, memperbaiki kecekapan pengurusan kewangan serta kaedah penghantaran yang lebih cekap.
“Kesediaan ini sangat penting untuk usahawan mencari jalan penyelesaian. DPPMT menyeru usahawan bumiputera segera bertindak melakukan perubahan model perniagaan dengan lebih fleksibel agar sesuai dengan senario pandemik serta perubahan pasaran pengguna kini. Kita cuba kawal apa yang boleh kita kawal dan lakukan perubahannya,” katanya.
— BERNAMA

Jurulatih baharu Sarawak United FC
KUCHING: Presiden Sarawak United FC, Datuk Posa Majais memberi bayangan