ARTIKEL

Abang Johari menyampaikan anugerah kategori Best Bumiputera SEVEA 2026 kepada wakil Satria Kaya Sdn Bhd.

PKS Sarawak Perlu Kuasai AI, Teknologi Digital – Abang Johari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Vendor tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perlu memperkukuh keupayaan digital dengan menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI), meningkatkan kepakaran teknikal serta membina kapasiti bagi merebut peluang yang diwujudkan menerusi agenda transformasi ekonomi Sarawak.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu sejajar dengan lima keutamaan di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“Vendor kita, khususnya PKS mesti dilengkapi dengan keupayaan, kepakaran teknikal serta kapasiti yang mencukupi, terutama dalam bidang digital dan AI, serta memanfaatkannya secara inovatif bagi meningkatkan produktiviti.

“Ia sejajar dengan lima tonggak utama PCDS 2030 iaitu pembangunan kemahiran dan latihan vokasional, keusahawanan yang menyokong PKS, pembangunan infrastruktur bagi memperkukuh kesalinghubungan digital dan tenaga, sokongan transformasi perniagaan terutama kepada perusahaan tempatan dan luar bandar serta peningkatan kualiti tenaga kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sarawak Energy Vendors Excellence Awards (SEVEA) 2026 di Hikmah Exchange Event Centre, pada Rabu.

Abang Johari berkata, usaha memperkukuh keupayaan vendor tempatan penting memandangkan mereka bakal menikmati peluang perniagaan yang lebih luas apabila operasi Sarawak Energy Berhad (SEB) berkembang ke peringkat serantau menerusi Borneo Grid dan ASEAN Grid.

“Vendor akan menjadi pemain serantau dengan menyediakan perkhidmatan kepada SEB serta rakan-rakan strategiknya di ASEAN kerana mereka memahami teknologi yang digunakan dan mengetahui cara menguruskan perkhidmatan yang diperlukan,” ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan Sarawak juga akan terus melabur dalam pembangunan bakat kerana pendidikan sahaja tidak mencukupi tanpa pendedahan kepada aplikasi sebenar dalam pelaksanaan projek pembangunan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU