Playgirl rugi RM391,550 ditipu kekasih maya

SIBU: Gara-gara berangan-angan ingin menjadi Playgirl, seorang guru wanita di sini mengalami kerugian berjumlah RM391,550 selepas menjadi mangsa penipuan Love Scam dengan dua lelaki di atas talian.

Kejadian ini berlaku pada Disember tahun lepas bagaimanapun mangsa berusia 47 tahun itu hanya membuat laporan polis pada 7 Ogos (Rabu) lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit hari ini berkata, pengadu ditipu sebanyak RM298,550 oleh suspek pertama dan RM93,000 kepada kekasih maya keduanya.

“Pada awal November tahun lepas, mangsa mengenali seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Roy Lim Cheng, seorang mekanik sebuah syarikat minyak dan gas di Los Angeles melalui Facebook,” katanya.

Kemudian menurut Stanley lagi, pada 18 Disember lalu, Roy memberitahunya bahawa dia akan menghantar jam tangan, komputer riba, perhiasan emas dan wang tunai RM70,000 atas dasar cinta.

“Empat hari kemudian, seorang lelaki dari sebuah syarikat kurier menghubunginya dan memberitahu dia bahawa satu bungkusan telah dikirimkan kepadanya telah tiba dan dia dikehendaki membayar RM14,700 sebagai bayaran penghantaran,” katanya.

Jelas Stanley, pengadu juga diminta untuk membuat pembayaran tambahan untuk duti kastam, perlindungan insurans untuk bungkusan tetsebut dan sebagai bayaran kepada Kedutaan Amerika.

Tanpa syak wasangka, katanya, pengadu mengikut arahan dan memindahkan wangnya sebanyak RM298,550 sejak 24 hingga 26 Disember tahun lalu.

Sementara itu, pada masa sama Stanley memberitahu, pengadu juga sempat berkenalan dengan orang lelaki lain bernama Henry’ di Facebook.

“Henry kemudian memberitahunya bahawa dia akan menghantar hadiah kepadanya dalam bentuk jam tangan, jam tangan, komputer riba dan wang tunai RM40,000 sebagai bukti cintanya,” ujarnya lagi.

Bagi tujuan tersebut, pengadu juga diminta untuk membayar RM70,000 untuk mendapatkan hadiah itu.

Setelah pembayaran dibuat, pengadu gagal mendapatkan bungkusan hadiah-hadiah seperti yang dijanjikan itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” kata Stanley lagi.