MIRI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan Sarawak supaya pemberian khas kepada negeri itu di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan ditentukan berdasarkan satu formula yang mengambil kira peningkatan pendapatan negara serta kemampuan fiskal Kerajaan Persekutuan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata cadangan berkenaan antara perkara yang dipersetujui dalam rundingan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.
Beliau berkata Sarawak mencadangkan perkongsian hasil berdasarkan formula sama ada 10 atau lima peratus daripada pendapatan negara, bergantung pada keadaan fiskal Kerajaan Persekutuan.
“Saya telah menyusulkan ia mestilah berpandu kepada satu formula. Kalau pendapatan negara bertambah, maka ia dikongsi dengan Sarawak melalui satu formula, sama ada 10 peratus daripada pendapatan itu ataupun lima peratus, mengikut keadaan fiskal negara.
“Kalau banyak, kongsi banyak. Kalau rendah, kongsi rendah. Sarawak sangat fleksibel, Sarawak sangat rasional,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Utara di Stadium Tertutup Miri, hari ini.
Abang Johari berkata Sarawak tidak membuat tuntutan yang tidak munasabah, sebaliknya mengambil kira kemampuan dan kapasiti kewangan Kerajaan Persekutuan.
“Kita tidak tuntut yang bukan-bukan, kita tuntut melalui keupayaan kapasiti kerajaan pusat.
“Maka ia dipersetujui oleh Perdana Menteri dan ada perbincangan mengenai perkara ini di antara Kementerian Kewangan Sarawak dan juga Kementerian Kewangan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata dalam rundingan itu, Kementerian Kewangan Malaysia pada awalnya mendakwa jumlah pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Sarawak lebih besar berbanding hasil negeri berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, beliau menunjukkan statistik yang dikeluarkan Kerajaan Persekutuan bagi 2022, 2023 dan 2024 yang menunjukkan hasil Sarawak lebih tinggi berbanding pemberian yang diterima daripada kerajaan pusat.
“Jadi mereka mengakui bahawa Sarawak hasilnya lebih tinggi daripada pemberian daripada kerajaan pusat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata Perdana Menteri turut bersetuju untuk memperbaiki perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat, dengan kedua-dua negeri berkenaan mempunyai satu pertiga perwakilan selaras dengan MA63 dan Laporan Suruhanjaya Antara Kerajaan (IGC).
Katanya, nisbah berkenaan perlu dikekalkan bagi memastikan perwakilan Sabah dan Sarawak lebih berkadaran.
“Alhamdulillah, perjuangan kita tercapai. Ada pertambahan wakil di Sabah-Sarawak, rationya mesti dikekalkan,” katanya.
Sementara itu, Abang Johari berkata Sarawak turut tidak bersetuju dengan cadangan meletakkan pelancongan di bawah Senarai Persekutuan, sebaliknya mahu bidang berkenaan disenaraikan dalam Senarai Bersama antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak.
Katanya, pelancongan tidak wujud dalam pembahagian senarai ketika penubuhan Malaysia dan perkara baharu itu sewajarnya diletakkan di bawah bidang kuasa bersama.
“Akhirnya mereka pun bersetuju,” katanya.
Justeru, Abang Johari menegaskan perkembangan itu membuktikan semangat MA63 dan Perlembagaan Persekutuan menjadi asas perjuangan PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memperjuangkan kepentingan Sarawak.
“Sebab itulah apabila kita kuat, suara kita pun kuat. Kalau kita berpecah, kita tidak membawa suara yang satu.
“Alhamdulillah, sebab kita satu, kita mendapat kejayaan dalam perundingan kita melalui semangat satu Malaysia,” katanya.



