KUCHING: Sebatang pokok tumbang di Jalan Demak Laut di sini, malam tadi menyebabkan sebuah kenderaan dihempap dan laluan terhalang, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.33 malam dan tiba di lokasi 12 minit kemudian.
Komander Operasi, Suhardi Razali berkata, pokok tumbang tersebut menghalang jalan dan menghempap sebuah kenderaan yang ketika itu tidak lagi mempunyai penumpang.
Menurut saksi awam, pemandu kenderaan tersebut telah berjaya diselamatkan oleh rakannya sebelum ketibaan pasukan bomba dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudian menjalankan kerja-kerja memotong dan membersihkan pokok tumbang untuk membuka semula laluan kepada pengguna jalan raya.
Operasi dikawal pada jam 10.15 malam dan tamat sepenuhnya 10 minit kemudian. — TVS



