BAU: Dua lelaki dikesan positif dadah dalam satu operasi bersepadu pencegahan jenayah yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau di sekitar daerah ini, malam tadi hingga awal pagi tadi.
Menurut kenyataan IPD Bau, operasi yang berlangsung dari jam 10.00 malam, 18 April hingga 3.00 pagi, 19 April itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota polis yang menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan serta individu di beberapa lokasi tumpuan.
“Sepanjang operasi, sebanyak 81 buah kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa, manakala 104 individu turut menjalani pemeriksaan.
“Daripada jumlah tersebut, 13 lelaki telah ditahan bagi tujuan ujian saringan awal air kencing.
“Hasil ujian mendapati dua daripada mereka positif dadah sebelum ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujar kenyataan.
Dalam operasi sama, sebanyak tujuh keping saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
IPD Bau dalam kenyataan memaklumkan bahawa operasi bersepadu seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai usaha berterusan membanteras jenayah serta memastikan ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.



