LUBOK ANTU: Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes penyeludupan imigran yang dilaporkan pada 19 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Lubok Antu Deputi Superintenden Victor Ripon berkata, individu dikenali sebagai Jeffrey Tarang, 28, beralamat Rumah Mandau Rakut, 95900, Lubok Antu.
Katanya, penama tersebut diperlukan bagi membantu siasatan yang telah dibuka di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007/ 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Tiga lelaki tempatan disyaki berperanan sebagai tekong darat yang mengatur kemasukan secara tidak sah tiga imigran Indonesia ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan di Lubok Antu telah ditahan di bawah Akta Kesalahaan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.
“Seorang lagi suspek masih lagi bebas dan telah melarikan diri dipercayai bersembunyi di sekitar Daerah Kuching,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Victor berkata, pihak polis sedang giat meneruskan usaha untuk menjejaki dan menangkap suspek.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedudukan terkini suspek diminta untuk segera melaporkan kepada Balai Polis Polis Lubok Antu.
Hubungi talian 083-584102 atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Muhammad Firdaus bin Saldi di talian 018-3144350 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran.