ARTIKEL

Polis larang terbang dron sepanjang sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Orang ramai diingatkan supaya tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan pihak berkuasa semasa persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya bermula 25 hingga 31 Ogos ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed dalam kenyataan berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang ingkar arahan larangan itu selaras dengan peruntukan Peraturan 143, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (MCAR) 2016.

Tindakan juga boleh dikenakan mengikut Seksyen 206(3) MCAR 2016.

“Pihak polis ingin menegaskan bahawa Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah kawasan larangan menerbangkan dron,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan tembakan meriam sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 pada hari raptai penuh 29 Ogos serta hari acara 31 Ogos.

Beliau berkata tembakan meriam dua das dilaksanakan di Lot 3C1, Presint 3 di Tapak Bazar Ramadan Putrajaya pada 8 pagi iaitu hari raptai penuh, manakala 14 das pada hari acara.

“Penduduk di Putrajaya dan sekitarnya dinasihatkan supaya tidak panik atau cemas apabila terdengar tembakan meriam yang merupakan satu daripada pengisian majlis sambutan,” katanya.

Selain itu, Aidi Sham menasihatkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal sekiranya ingin menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya.

“Orang ramai digalakkan menggunakan kemudahan pengangkutan alternatif yang disediakan pihak penganjur seperti bas ulang-alik dan water taxi untuk keselesaan serta menjimatkan masa perjalanan, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan jalan raya,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Putrajaya di talian 03-88862222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi sebarang pertanyaan.

Bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini berlangsung di Dataran Putrajaya, manakala Hari Malaysia di Pulau Pinang pada 16 Sept.– BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU