Polis Meradong, Media perkukuh hubungan

BINTANGOR: Polis terus meningkatkan hubungan baik dengan pihak media dalam menyampaikan maklumat sahih dan tepat kepada masyarakat.

Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superitendan Polis (DSP) Sekam Anoi berkata, usaha itu mampu mengelak percanggahan maklumat yang boleh menimbulkan kekeliruan terutamanya dalam aspek keselamatan.

Menurutnya, sebarang maklumat perlu dirujuk melalui saluran yang betul bagi memastikan kesahihannya sebelum disiarkan.

“Jaringan hubungan erat antara kedua-dua belah pihak membolehkan informasi tepat disalurkan kepada masyarakat,” katanya dalam sesi Dialog dan Majlis Suai Kenal Bersama Media, semalam.

Beliau memberitahu, Polis Meradong terus melaksanakan langkah proaktif bagi mengurangkan kadar jenayah di daerah ini.

Dalam suku ketiga tahun ini katanya, Polis berjaya melakukan sebanyak 18 tangkapan atas pelbagai kes.

“Kita amat mengharapkan kerjasama semua pihak terutama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah. Pada masa yang sama kawalan juga rondaan juga akan terus dipergiatkan,” katanya.

Hubungan erat antara media dan Polis penting

Menyentuh mengenai kes narkotik, Sekam berkata, bahagian Narkotik menyelesaikan satu kes dengan membabitkan tiga tangkapan di bawah Seksyen 39 A (1) ADB 1952.

Tangkapan itu ujarnya, dilakukan di sebuah rumah kedai tidak bernombor di Jalan Bintang Utara di sini.

Hasil serbuan itu katanya, Polis berjaya merampas dadah jenis Methamphetmine seberat 2.80 gram dan 5.21 gram.

“Bahagian siasatan jenayah Penguatkuasaan Trafik Daerah pula mencatatkan sebanyak 112 kes tahun ini berbanding 123 kes tahun lalu.

“Kita mengenalpasti beberapa punca yang menyebabkan kemalangan antaranya, jalan rosak dan permukaan jalan licin, memandu terlalu laju, berlumba, letih, mengantuk dan lain-lain lagi.

“Antara kawasan kerap berlaku kemalangan ialah Jalan Bintangor Sarikei, Jalan Bintangor Sibu, Jalan Tulai Narasit, Jalan Skim B, Jalan Selidap dan Jalan Bintangor Gemuan,” jelasnya.

Suara Sarawak