MUKAH: Seorang lelaki warga asing diberkas dalam satu serbuan sepasukan anggota polis di sini semalam.
Suspek disyaki terlibat dalam kegiataan mengedar dadah secara kecil-kecilan.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Polis (DSP) Muhamad Rizal Alias, berkata penahanan suspek berusia 32 tahun itu dibuat pada jam 12.40 tengah hari di belakang sebuah premis 24 jam.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek menjumpai empat paket plastik lut sinar, dan empat keratan straw warna kuning mengandungi ketulan kristal, dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu.
“Kesemua barangan itu kemudiannya dirampas untuk dijadikan barang kes,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Rizal berkata berat kasar barang kes yang dirampas adalah 7.65 gram, dengan anggaran nilai
RM765.
Ujarnya, suspek yang bekerja sebagai buruh dan kesemua barang kes dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah untuk tindakan lanjut.
“Ujian urin ke atas lelaki itu juga mendapati beliau positif dadah jenis amphetamine dan
methamphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kertas siasatan di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 juga dibuka kerana suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” ujarnya.



