SARIKEI: Polis menafikan dakwaan kononnya terdapat penemuan mayat kanak-kanak dipenggal kepala seperti yang tular di media sosial baru-baru ini, sambil menjelaskan bahawa tiada sebarang laporan diterima berkaitan perkara tersebut.
Ketua Polis Daerah Sarikei Superintenden Aswandy Anis berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan berhubung insiden dua lelaki yang ditangkap penduduk kampung di daerah ini selepas rakaman video kejadian tular pada malam 22 Oktober lalu.
“Pihak polis mengesan hantaran di Facebook sekitar 11 malam yang memaparkan dua lelaki ditahan oleh orang awam.
“Kedua-dua individu tersebut kemudian diserahkan kepada polis dan dirujuk ke Hospital Sarikei untuk rawatan kerana mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta memastikan tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang.
Aswandy turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat atau menyebarkan sebarang spekulasi tidak sahih di media sosial yang boleh menjejaskan siasatan.
“Tindakan menyebarkan kenyataan palsu boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Beliau turut menyeru masyarakat agar bertanggungjawab ketika berkongsi maklumat dalam talian dan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara adil dan menyeluruh.





