ARTIKEL

Superintenden Barry William.

Polis Padawan nasihat orang ramai elak buat laporan palsu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tindakan seorang buruh mereka cerita menjadi mangsa samun bagi menutup kehilangan kad pengenalannya akhirnya memakan diri apabila siasatan polis mendapati kejadian tersebut tidak pernah berlaku.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Barry William berkata, suspek berusia 19 tahun itu pada mulanya membuat laporan mendakwa disamun dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal ketika berjalan kaki menuju ke sebuah pasar raya di MJC Batu Kawa kira-kira jam 7.40 malam Ahad lalu.

Menurutnya, suspek mendakwa salah seorang daripada lelaki terbabit mengacukan objek tajam ke pinggang kirinya, manakala seorang lagi melarikan dompet yang mengandungi kad pengenalan, kad ATM, cukai jalan motosikal serta wang tunai RM120.

“Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut dan rakaman percakapan semula yang dijalankan oleh pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan mendapati laporan samun yang dibuat adalah palsu dan direka,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Barry, siasatan mendapati kejadian samun itu tidak pernah berlaku.

Katanya, suspek kemudian mengaku barang-barang miliknya sebenarnya tercicir dan dia membuat laporan palsu kerana tidak mahu dikenakan denda bagi menggantikan kad pengenalan yang hilang.

Beliau berkata, susulan pengakuan tersebut, satu laporan polis baharu dibuat terhadap suspek dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.

“Kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat dengan cadangan pertuduhan,” katanya.

Sehubungan itu, Barry menasihatkan orang ramai supaya tidak sesekali membuat laporan polis palsu atau mereka-reka sesuatu kejadian bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Katanya, tindakan sedemikian bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah membazirkan masa, tenaga dan sumber polis yang sepatutnya digunakan untuk menyiasat kes jenayah sebenar.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU