PARIS: Polis Perancis menahan suspek keempat yang mempunyai kaitan langsung dengan rompakan barang kemas diraja pada 19 Okt di Louvre, lapor akhbar Le Parisien dan Le Figaro pada Selasa, memetik sumber polis, menurut Agensi Berita Jerman (dpa).
Polis turut menahan beberapa lagi suspek rakan subahat, namun barang kemas yang dicuri masih belum ditemukan.
Lelaki yang baru ditahan itu dilaporkan dikenali polis dan mempunyai hubungan dengan tiga suspek utama terdahulu, menurut Le Parisien.
Rompakan berani itu menggunakan sebuah lori dengan lif yang diletakkan di luar muzium terkenal tersebut sehingga memaksa tahap keselamatan premis disemak semula.
Dua lelaki naik ke balkoni tingkat satu menggunakan lif, memecah masuk melalui tingkap dan melarikan barang kemas manakala dua lagi menunggu dengan skuter di jalan di bawah.
Penjenayah mengugut kakitangan dan memecahkan dua kotak pameran ketika berada di bilik pameran, dengan keseluruhan kejadian dikatakan berlangsung kurang daripada empat minit.
Lapan barangan yang dicuri termasuk diadem, rantai, subang dan kerongsang yang pernah dipakai ratu dan maharani Perancis.
Ketika melarikan diri, perompak menjatuhkan satu mahkota bertatah zamrud dan ratusan berlian yang pernah digunakan Maharani Eugenie. Ia ditemukan dalam keadaan rosak berhampiran muzium.
Sekalipun muzium menganggarkan rompakan itu bernilai €88 juta (US$102 juta), nilai barang kemas tersebut dijangka jauh lebih rendah sekiranya ia dipecah-pecahkan. – BERNAMA



