ARTIKEL

Jawab… Zainal menjawab soalan daripada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini

Polis Sarawak fokus basmi judi dalam talian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Polis Sarawak kini menumpukan perhatian terhadap kegiatan perjudian dalam talian dengan pendekatan lebih berkesan menerusi penggunaan teknologi terkini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Zainal Abdullah, berkata fokus itu diberikan kerana kegiatan perjudian dalam talian menggunakan sistem digital yang membolehkan pemain mengakses dari mana-mana lokasi.

“Sekiranya teknologi yang lebih canggih digunakan, laman web judi dalam talian boleh disekat dan tiada siapa dapat bermain secara haram. Kita sedang mengkaji langkah-langkah ini dengan teliti,” jelasnya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Zainal berkata Akta Rumah Judi Terbuka 1953 perlu dipinda bagi menangani peningkatan kes perjudian dalam talian selaras perkembangan teknologi dan trend semasa.

Beliau berkata undang-undang sedia ada tidak mencukupi untuk mengendalikan bukti perjudian dalam talian, justeru pindaan penambahbaikan kini sedang dilaksanakan kerajaan bagi memastikan kes boleh dibawa ke mahkamah dengan lebih berkesan.

Tambahnya, sesetengah operasi judi dalam talian dijalankan secara berselindung di premis seperti kedai kopi dan kedai runcit menggunakan sistem tambah nilai (top-up), sekali gus menyukarkan pengumpulan bukti di bawah undang-undang semasa.

Zainal turut mengaitkan kegiatan perjudian dengan penyalahgunaan dadah, berkata kedua-duanya mampu mendorong kepada jenayah lain kerana pelaku memerlukan wang untuk meneruskan ketagihan.

Beliau berkata perjudian ibarat penyakit atau barah dalam masyarakat yang tidak akan pernah menguntungkan pemain.

Sehubungan itu, beliau menekankan pentingnya kesedaran masyarakat terhadap bahaya perjudian serta meminta orang ramai supaya tidak terjebak dengan kegiatan tersebut.

“Sekiranya tiada permintaan daripada masyarakat, penganjur judi juga tidak akan mendapat kerjasama. Belum ada sesiapa yang bermain judi boleh menjadi kaya; yang kaya hanyalah penganjur,” jelasnya.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha