ALOR SETAR: Polis mengesahkan menerima laporan kehilangan tiga beranak termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang tular di media sosial hari ini.
Menurut Bernama, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata laporan dibuat oleh ahli keluarga yang bimbang terhadap keselamatan Siti Zulaikha Ahmad Sabri, 36, suaminya Khairul Azhar Ahmad, 39, serta anak lelaki mereka.
Beliau berkata siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan rumah mendapati mereka pulang dengan menaiki kereta pada 1.12 pagi semalam sebelum keluar semula pada 2.20 pagi hari yang sama.
Terdahulu, video ahli keluarga meminta orang ramai menyalurkan maklumat mengenai keberadaan tiga beranak itu tular di media sosial. Bapa kepada Siti Zulaikha memaklumkan laporan polis dibuat di Balai Polis Bukit Kayu Hitam semalam selepas mereka gagal dihubungi sejak 20 Julai, selain cucunya tidak hadir ke sekolah.






