ARTIKEL

TAHAN…Lelaki pecah masuk kuari lama dan menjual kabel curi RM90 ditahan semalam.

Polis Tahan Lelaki Pecah Masuk Kuari Lama

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAU: Kegiatan seorang lelaki yang dipercayai memecah masuk sebuah kuari lama di Krokong untuk mencuri kabel elektrik dan aluminium berakhir dengan penahanannya oleh pihak polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A.Rahman berkata, suspek tempatan berusia 25 tahun itu ditahan kira-kira 11.25 pagi di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bidi, Krokong.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku memasuki kawasan kuari yang tidak lagi beroperasi melalui bahagian belakang pagar sebelum memotong dua gulung kabel elektrik serta mengambil beberapa keping aluminium.

“Suspek kemudian menjual barang yang dicuri itu di sebuah premis besi buruk di Tasik Biru dan memperoleh wang tunai sebanyak RM90,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Mohd Haide berkata, susulan maklumat dan pandu arah yang diberikan suspek, polis menjalankan operasi susulan di Kampung Tasik Biru pada kira-kira 4.10 petang hari yang sama.

Katanya, operasi itu membawa kepada rampasan sekeping salinan pendua resit jualan bertarikh 14 Jun 2026 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan transaksi barang curi berkenaan.

“Rampasan dibuat mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan 1950,” katanya.

Beliau berkata, semakan turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Menurutnya, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah masuk.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa memastikan premis masing-masing berada dalam keadaan selamat terutama kawasan yang jarang dikunjungi atau tidak berpenghuni.

“Orang ramai diminta agar segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU