SIBU: Rakaman video berdurasi 19 saat yang memaparkan seorang lelaki dipukul sekumpulan individu membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan di sekitar Sibu baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, video kejadian itu dikesan tular menerusi media sosial Facebook sebelum pihaknya menjalankan siasatan lanjut.
Menurutnya, polis turut menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun pada 9 Ogos lalu.
“Susulan laporan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu yang terbabit dalam kejadian.
“Hasil siasatan, tiga suspek utama berjaya dikesan sebelum ditahan di tiga lokasi berasingan sekitar Sibu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kesemua suspek merupakan lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 60 tahun.
Katanya, mereka ditahan bagi membantu siasatan dan akan dibawa ke Mahkamah Sibu hari ini bagi permohonan reman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau cara yang berbahaya.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun selain denda atau sebatan,” katanya.
Abang Zainal Abidin berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata atau apa-apa benda yang, jika digunakan sebagai senjata, berkemungkinan menyebabkan kematian.
Kesalahan itu katanya, memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang dikenal pasti terbabit.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan semula rakaman berkenaan kerana boleh menjejaskan siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.



