KUCHING: Hampir dua minggu menjalankan risikan dan mengesan pergerakan suspek, polis akhirnya berjaya menumpaskan satu kumpulan dipercayai terlibat dalam kegiatan samun berkawan menggunakan senjata yang menyasarkan mangsa di kawasan pusat bandar Kuching.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, kejayaan itu dicapai menerusi dua serbuan berasingan pada 17 Jun lalu, yang menyaksikan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an diberkas di sekitar bandar raya ini.
“Tangkapan tersebut dibuat susulan siasatan berhubung satu kejadian samun berkawan menggunakan senjata yang dilaporkan berlaku di tepi jalan di Jalan Song Thian Cheok pada 31 Mei lalu, kira-kira 12.02 tengah malam,” katanya.
Tambah Alexson, bertindak atas maklumat dan hasil risikan yang dijalankan, pasukan polis berjaya menahan suspek pertama pada 2.45 pagi sebelum dua lagi suspek ditahan dalam operasi susulan sekitar 10.15 pagi pada hari yang sama.

Siasatan awal katanya, dua daripada tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau, sekali gus dipercayai mempunyai pelibatan dalam kegiatan jenayah sebelum ini.
“Polis turut merampas sebuah kereta Proton Saga FLX berwarna putih yang dipercayai digunakan semasa kejadian, selain tiga unit telefon bimbit terdiri daripada iPhone 11 Pro dan Samsung Galaxy A17 serta pakaian yang dipercayai dipakai suspek ketika melakukan jenayah tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata, semua barangan yang dirampas kini dianalisis bagi membantu siasatan, termasuk mengenal pasti sama ada kumpulan itu mempunyai kaitan dengan kes jenayah lain yang pernah dilaporkan di sekitar Kuching.
Ketiga-tiga suspek katanya direman selama tujuh hari selepas permohonan reman diluluskan oleh Mahkamah Majistret Kuching bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan menggunakan senjata, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.
Dalam pada itu, Alexson menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada, khususnya ketika berada di kawasan sunyi atau kurang orang ramai pada waktu malam.
Beliau turut menggalakkan pemilik premis dan kediaman meningkatkan aspek keselamatan dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV), sistem penggera serta memastikan pintu dan pagar sentiasa berkunci.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching menerusi talian 082-244444 bagi membantu usaha membanteras jenayah jalanan di bandar raya ini,” katanya.



