KUCHING: Tindakan pantas polis berjaya menumpaskan dua kes jenayah berasingan dalam tempoh beberapa jam di sekitar bandar raya ini, termasuk kes samun melibatkan pemandu e-hailing yang mengalami kerugian hampir RM3,000.
Ketua Polis Daerah Kuching, Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian kira-kira 3.08 pagi di Kampung Gita Baru, seorang pemandu e-hailing dipercayai menjadi sasaran dua lelaki yang menyamar sebagai pelanggan sebelum bertindak menyamun mangsa.
“Mangsa dilaporkan mengalami kerugian dianggarkan RM2,850 selepas barangan miliknya dilarikan suspek dalam insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Bertindak atas maklumat dan risikan, beliau berkata, pasukan berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 51 dan 25 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.



Katanya, pasukan turut merampas beberapa barangan yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes.
Siasatan awal katanya mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala hasil saringan air kencing turut mendapati mereka positif dadah.
“Kes samun itu disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

“Dalam perkembangan berasingan pada hari sama kira-kira jam 12.15 tengah malam, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 21 tahun di Jalan Central Timur kerana disyaki terlibat dalam kes curi di dalam bangunan.
“Suspek dipercayai memecah masuk sebuah rumah yang sedang diubah suai dan hasil saringan awal air kencing mendapati dia juga positif dadah.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan serta polis menyeru orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.



