ARTIKEL

Antara suspek yang ditahan dalam operasi yang dijalankan baru-baru ini.

Polis tumpaskan rangkaian penyalahgunaan dadah di Miri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Serbuan bersepadu selama tiga hari oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri berjaya menumpaskan rangkaian penyalahgunaan dadah di daerah ini dengan penahanan 30 individu menerusi Op Tapis Khas Sarawak Bil.3/2026.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata operasi yang dilaksanakan dari 26 hingga 28 Februari itu digerakkan susulan risikan dan pemantauan di beberapa lokasi yang dikenal pasti aktif dengan kegiatan penagihan serta pengedaran dadah.

“Daripada jumlah tangkapan, 18 lelaki tempatan, lima wanita tempatan dan tujuh lelaki warga asing diberkas atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Dua kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), manakala 11 kes di bawah Seksyen 12(3) dan selebihnya melibatkan Seksyen 15(1)(a) berkaitan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Farhan berkata, dalam operasi sama, polis turut merampas bahan disyaki methamphetamine seberat kira-kira 14 gram yang dianggarkan bernilai RM1,562.

Beliau berkata, rampasan tersebut dipercayai untuk pasaran tempatan dan akan dihantar ke makmal bagi analisis lanjut.

“Selain tangkapan berkaitan dadah, seorang individu turut ditahan berhubung waran tangkap selepas gagal hadir ke Mahkamah Miri bagi prosiding kes terdahulu yang melibatkan kesalahan sama.

“Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU