KUCHING: Politeknik kini diiktiraf sebagai institusi pertama Malaysia yang diberi kelulusan menggunakan logo ‘International Engineering Alliance (IEA) – Sydney Accord dan Dublin Accord oleh Lembaga Jurutera Malaysia bagi sijil kejuruteraan baru-baru ini.
Pengarah Kanan (Kompetensi) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC), Kementerian Pendidikan Tinggi, Ts. Abdul Razak Sabtu, berkata kejayaan pengakreditasian tersebut membuktikan lulusan politeknik dan kolej komuniti diiktiraf oleh kerajaan.
“Statistik menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan Politeknik dan Kolej Komuniti 2023 mencatat sejarah apabila mencapai kebolehpasaran tertinggi, iaitu melebihi 97 peratus.
“Suka saya kongsikan bahawa pencapaian besar apabila Politeknik menjadi institusi pertama diberi kelulusan menggunakan logo IEA baru-baru ini.
“POLYCC dengan konsep kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk semua akan terus direncana secara radikal dan kolektif.
“Ekosistem TVET Malaysia mempunyai kekuatan 36 politeknik dan 106 kolej komuniti, tenaga kerja hampir 15,000 orang dan enrolmen pelajar semasa lebih kurang 100,000 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sarawak 2024 di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kuching Sarawak, di sini, hari ini.
Tegasnya, usaha menghasilkan graduan yang relevan dengan keperluan industri dan negara akan terus dipergiat.
Ia termasuk dengan mengutamakan kolaborasi akademia-industri secara bersinergi.
Dedahnya, jabatan telah mendapat kepercayaan hampir 19,000 industri, termasuk PKT Logistic, Maybank, Bank Rakyat, PETRONAS, Telekom Malaysia (TM) dan Samsung Malaysia Electronics.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan Politeknik dan Kolej Komuniti akan diperkasakan oleh perancangan memeta TVET secara lebih dinamik dan kompetetif.
Ia menekakan tiga fokus utama, iaitu penguasaan kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT) dan ‘blockchain’, penawaran ‘Micro-Credentials’ dan penubuhan Pusat APELA, M dan Q.
Sementara itu, Abdul Razak mendedahkan peruntukan sebanyak RM50 juta di bawah Projek Baik Pulih Fasiliti Usang telah diterima bagi menaik taraf fasiliti institusi.
Tambahnya, turut diterima RM16.7 juta bagi menaik taraf kelajuan Internet jabatan di bawah peruntukan pendigitalan.
Terdahulu, seramai 416 graduan terlibat dalam majlis konvokesyen yang menjadi detik bersejarah buat Politeknik Kuching sendiri.



