KUCHING: Politik Malaysia perlu kembali kepada landasan rasional, sederhana dan inklusif dengan mengelakkan sentimen kaum serta agama yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penyatuan masyarakat Melayu perlu diterjemahkan melalui pendekatan yang menimbulkan rasa hormat, kebersamaan dan rasa selamat, bukannya melalui pendekatan ekstrem atau menakutkan.
“Kita tidak mahu melihat masyarakat Melayu berpecah.
Pada masa yang sama, kita juga tidak mahu usaha untuk menyatukan mana-mana kaum akhirnya menyebabkan kaum lain berasa tersisih, terancam atau tidak lagi mempunyai tempat yang sama dalam negara ini,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook rasminya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menghargai pandangan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Utama Mohamad Hasan berkaitan keperluan mengurus politik kaum, khususnya penyatuan orang Melayu, secara rasional, sederhana dan inklusif.
Sehubungan itu, Nanta turut merakamkan penghargaan ke atas pandangan Ketua Penerangan PBB, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang menyuarakan pendirian selari bahawa kestabilan Malaysia tidak boleh dilihat semata-mata daripada sudut penyatuan politik Melayu.
Sebaliknya, kestabilan dan kebersamaan perlu merangkumi parti serta masyarakat yang mewakili pelbagai kaum dan agama di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
“Usaha memperkukuh sesuatu komuniti boleh dilaksanakan tanpa melemahkan komuniti lain, selain mempertahankan identiti masing-masing tanpa merendahkan identiti orang lain.
“Pendekatan inklusif itu turut mencerminkan pengalaman Sarawak yang selama ini berteraskan toleransi, saling menghormati dan keterangkuman,” katanya lagi.
Nanta turut berkongsi, kemenangan PBB dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2021 yang menyaksikan parti itu memenangi kesemua 47 kerusi ditandingi tidak dilihat sebagai lesen untuk memerintah bersendirian.
Menurutnya, PBB terus berkongsi pentadbiran dan tanggungjawab melalui Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersama parti komponennya, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) kerana kerajaan Sarawak perlu mencerminkan kepelbagaian rakyat negeri itu.
Dalam pada itu, Nanta turut mengaitkan pendekatan tersebut dengan semangat Hari Malaysia serta ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 di Kuching yang menekankan konsep ‘wa’ad nasional’.
Ujarnya, Perjanjian Malaysia 1963 bukan semata-mata urusan Sabah dan Sarawak, sebaliknya merupakan tanggungjawab nasional yang perlu difahami dan dipikul bersama seluruh Persekutuan.
“Malaysia yang dibina atas kepercayaan, komitmen dan kesediaan wilayah serta masyarakat yang berbeza untuk berjalan bersama-sama perlu terus dipelihara oleh setiap generasi.
“Perbezaan pandangan adalah sebahagian daripada demokrasi.
Tetapi perbezaan tidak seharusnya membawa kita kepada politik kebencian yang akhirnya merugikan rakyat dan negara,” jelasnya.
Pada masa sama, Nanta memberitahu, semangat tersebut selari dengan pesanan mendiang datuknya, Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Barieng, yang berbunyi: ‘Anang Malaysia baka tebu, manis dipun tabar di hujung’.
Tambahnya, pesanan itu menjadi peringatan bahawa semangat, janji dan kepercayaan yang melahirkan Malaysia perlu terus dipelihara dari satu generasi kepada generasi berikutnya.


