KETIKA menikmati sarapan di sebuah kedai kopi di Petra Jaya, Kuching barubaru ini saya terjumpa seorang rakan lama bersama-sama keluarganya.
Kami mula kenal sejak dari sekolah rendah, namun sudah hampir 20 tahun tidak berjumpa disebabkan komitmen masing-masing.
Rakan saya ini merupakan seorang jurutera dan berkhidmat dengan syarikat minyak dan gas yang berpangkalan di utara Sarawak.
Sebagai seorang jurutera saya beranggapan sudah pasti kebanyakan kita membayangkan gaji lumayan, tinggal di rumah besar, melancong ke serata dunia dan mempunyai kenderaan mewah.
Namun tanggapan saya sebenarnya sedikit salah. Mereka yang bekerja dalam industri minyak dan gas turut tidak terkecuali terkena tempias politik pejabat atau di tempat kerja.
Rakan saya ini memberitahu, bergaji besar tidak memberi makna sekiranya politik tempat kerja sentiasa mengganggu mental.
Sebenarnya, setiap majikan dan pekerja tidak akan terlepas dengan cabaran dan dugaan, sama ada dalam bentuk tanggungjawab dan tugas, gelagat organisasi termasuklah budaya organisasi, kerenah birokrasi, tingkah laku pekerja dan ketua, termasuklah cabaran politik pejabat.
Politik pejabat boleh ditakrifkan sebagai sebarang bentuk agenda, rancangan yang tidak berlandaskan visi dan misi syarikat atau apa-apa tindakan yang dilakukan bukan untuk kepentingan bersama.
Ia banyak menjurus kepada kesan negatif untuk kepentingan seseorang individu sama ada inginkan perhatian daripada pihak tertentu yang tidak wajar tindakannya untuk berkembang dan bersaing secara tidak sihat dengan apa-apa cara.
Harus diingatkan bahawa, sekiranya organisasi gagal untuk membendung budaya politik pejabat yang tidak sihat ini dalam organisasi pelbagai kesan negatif akan wujud di tempat kerja sama ada terhadap pekerja atau majikan.
Antara kesan yang akan dihadapi oleh pekerja sekiranya politik pejabat ini tidak diuruskan dengan sewajarnya maka kepuasan pekerja akan menurun, berlaku pertikaian dan konflik, tekanan dan kerisauan meningkat yang akhirnya akan menyebabkan motivasi pekerja merudum.
Pekerja berasakan mereka berada dalam organisasi yang tidak harmoni dan tidak selamat untuk terus berkhidmat.
Dari sudut majikan pula, antara kesan negatif yang akan dihadapi – kadar peningkatan pekerja berhenti akan berlaku dalam organisasi.
Ini akan lebih merugikan sekiranya yang meninggalkan organisasi ialah pekerja yang hebat prestasinya.
Akhirnya akan menyebabkan organisasi kehilangan sumber manusia yang berpotensi untuk menggerakkan visi dan misi sesebuah organisasi.
Kesan ini tidak akan terhenti di situ sahaja, malah Jabatan Sumber Manusia harus menguruskan semula aktiviti pengambilan pekerja yang baharu bagi menggantikan pekerja yang berhenti.
Maka kos langsung dan tidak langsung harus ditanggung oleh majikan dalam menjalankan fungsi sumber manusia ini.
Kos langsung yang perlu ditanggung oleh organisasi ialah seperti kos pengiklanan pengambilan pekerja, kos latihan semula dan kos menguruskan induksi kepada pekerja baharu.
Manakala kos tidak langsung pula yang perlu ditanggung oleh organisasi ialah kos menguruskan temu duga, kos menunggu pengambilan pekerja dan kos pengurusan dan pentadbiran yang perlu dilakukan dalam pengambilan pekerja baharu ini.
Sekiranya, kesan politik pejabat ini dapat diuruskan dan diminimumkan sebaik mungkin maka aktiviti yang tidak perlu ini dapat disalurkan kepada aktiviti organisasi yang lebih penting seperti pemantapan perancangan strategi syarikat, melatih dan membangunkan bakat baharu dalam meningkatkan prestasi organisasi dan pekerja yang akhirnya dapat diterjemahkan dalam bentuk ‘sen dan ringgit’ iaitu hasil pengeluaran produktiviti dan keuntugan.
Oleh itu, politik pejabat harus diurus dengan sewajarnya oleh kedua-dua pihak, sama ada majikan atau pekerja.
Majikan haruslah membangunkan dan menguatkan polisi berkenaan peraturan dan prosedur mengenai aduan, khabar angin secara lebih terbuka dan sistematik.
Di samping itu, jelas tanggungjawab yang perlu dilakukan kepada semua peringkat daripada operator pengeluaran sehinggalah peringkat pengurus.
Saluran komunikasi yang boleh dipercayai dalam organisasi untuk melaporkan aduan atau tindakan yang tidak beretika, meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam mengurus gelagat organisasi dan sumber manusia juga harus diberi perhatian.
Ini penting kerana mengurus sumber yang bernama manusia adalah satu perkara yang amat kompleks dan ia tidak seperti mengurus peralatan atau mesin.
Sumber manusia ini perlu diurus secara bijak, cekap dan sistematik bagi memastikan sumber manusia menggunakan masa, pengetahuan, bakat dan kemahiran dalam menyumbang kepada peningkatan pengeluaran dan prestasi syarikat dengan sewajarnya.
Bagaimana pula dengan peranan kita sebagai pekerja dalam mengatasi masalah ini?
Kita selaku sumber yang bergelar manusia haruslah memastikan diri kita disibukkan dengan aktiviti meningkatkan prestasi dan hasil pengeluran kita, bangunkan bakat dan kemahiran yang dikurniakan kepada kita, tingkatkan ilmu pengetahuan dalam mengahadapi dan menguruskan cabaran tingkah laku golongan politik pejabat atau golongan toksik yang tidak akan membawa kita ke mana-mana mercu kejayaan.
Justeru, ini akan memperkasakan jati diri kita untuk menjadi modal insan yang cemerlang dan berdaya tahan dengan cabaran di tempat kerja.
