Populasi gajah menurun kerana pelbagai ancaman

TAIPING: Pengurusan dan Ekologi Gajah Malaysia (MEME), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapati bilangan populasi gajah di Semenanjung Malaysia, semakin menurun disebabkan pelbagai jenis ancaman terhadap gajah.

Timbalan Ketua Penyelidik MEME, Nottingham University Malaysia Campus, Asst Prof Dr Wong Ee Phin berkata antara punca pengurangan mamalia tersebut, termasuklah ancaman perdagangan hidupan liar secara haram yang memburu gajah untuk mendapatkan gadingnya.

“Selain itu, pembangunan infrastruktur seperti pembinaan jalan yang menyebabkan hutan sedia ada dipisahkan mengakibatkan hidupan liar seperti gajah terbunuh akibat kemalangan.

“Konflik manusia dan gajah juga menjadikan ancaman terhadap hidupan itu. Apabila gajah merosakkan tanaman, ia sekali gus mengancam ekonomi peladang,” katanya di perasmian Zoorama dan Sambutan Hari Gajah Sedunia yang disempurnakan Pengarah Zoo Taiping Dr Kevin Lazarus di sini hari ini.

Beliau berkata kajian pihaknya mendapati terdapat sekitar 1,500 ekor gajah di Semenanjung Malaysia dan 40,000 ekor di Asia.

“Terdapat tiga spesies gajah di dunia iaitu dua spesies di benua Afrika dan satu spesies di Asia,” katanya.

Sambutan Hari Gajah Sedunia diadakan pada 12 Ogos setiap tahun, bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan konservasi dan perlindungan untuk gajah dan habitatnya di seluruh dunia.

Sementara itu, Kevin berkata program Zoorama yang bermula pada hari ini hingga 18 Ogos ini merupakan inisiatif Zoo Taiping, dalam memastikan nilai kepelbagaian biologi dan persekitaran alam semula jadi dapat ditonjolkan kepada pengunjung Zoo Taiping.

Beliau berkata antara aktiviti yang diadakan termasuk jualan produk, pertandingan mewarna, zoo explorace, zumba, pengunjung bertuah, pertandingan ‘selfie’, selain berpeluang menikmati diskaun tiket masuk ke Zoo Taiping & Night Safari sebanyak 30 peratus sepanjang program 10 hari ini.

Katanya Zoo Taiping telah menerima dua kelahiran anak gajah jantan pada 30 Dis tahun lalu dan 8 Feb tahun ini, menjadikan 10 ekor gajah yang terdapat di zoo berkenaan iaitu tujuh betina dan tiga jantan.

“Kelahiran ini salah satu usaha mengekalkan kelestarian dan khazanah melalui aktiviti konservasi dan pembiakan hidupan liar,” katanya. – Bernama