ARTIKEL

Henry (empat kanan) bersama tetamu jemputan menyempurnakan pemotongan kek pada Majlis Sambutan Hari Keluarga dan Ulang Tahun ke-5 Kampung Krawong Stass. - Foto: UKAS

Pos Kawalan Sempadan Stass dibina melalui Projek GKCDA Fasa Dua

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAU: Pembinaan Pos Kawalan Sempadan di antara Malaysia dan Kalimantan Barat, Indonesia, di sekitar Kampung Stass dirancang melalui projek Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) Fasa Dua. 

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep, berkata usaha itu akan dilaksanakan setelah siapnya pembangunan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin.

“Sebelum ini sebanyak RM2 juta di bawah GKCDA Fasa Satu diperuntukkan bagi membina Pos Kawalan Sempadan Stass namun ia tidak dapat dilaksanakan selepas pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat kiraan jumlah peruntukan itu hanya cukup untuk membina jalan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Keluarga dan Ulang Tahun ke-5 Kampung Krawong Stass di sini pada Rabu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru itu menambah, peruntukan bagi pembinaan Pos Kawalan Sempadan Stass, yang merupakan pintu masuk strategik ke Daerah Bau, akan ditingkatkan dalam Fasa Kedua.

“Tumpuan kita sekarang adalah pembinaan ICQS Serikin, dan setelah siapnya ICQS Serikin itu nanti, barulah kita mula membina Pos Kawalan Sempadan Stass,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, usaha bagi mengatasi masalah banjir yang sering melanda Kampung Stass mula dilaksanakan pada tahun ini oleh agensi pelaksana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui peruntukan GKCDA sebanyak RM600,000. 

Pada majlis sama, beliau turut meluluskan peruntukan bagi menambah baik Dewan Gunasama Kampung Krawong Stass dengan peruntukan sebanyak RM100,000 di bawah projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun 2025 dan sebanyak RM10,000 lagi di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi tahun 2024.

Hadir sama, Pemangku Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi, Penghulu Kawasan Jagoi, Sumy Lidei, Penghulu Kawasan Bratak, William Morfor Misek, dan Ketua Kaum Kampung Krawong Stass John Mupok. – EDISI UKAS

Henry (tiga kiri) bersalaman dengan penduduk yang hadir ke majlis tersebut. – Foto: UKAS

BERITA LAIN

BERITA TERBARU