KUCHING: Polis di sini menahan dua lelaki warga tempatan kerana cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di kawasan perumahan, Jalan Matang, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 26 dan 30 tahun itu ditahan sekitar jam 10 malam oleh pasukan URB Bravo BPJKK IPD Padawan.
“Ketika menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan Batu Kawa, pasukan telah terserempak dengan sebuah kenderaan Perodua Myvi yang mencurigakan.
“Apabila diperiksa, pemandu kereta terbabit bertindak melarikan diri ke arah kawasan Matang namun berjaya ditahan semula di sebuah perumahan kawasan Jalan Matang,” katanya memetik hantaran Facebook IPD Padawan hari ini.
Menurut Abang Zainal, pemeriksaan terhadap suspek disahkan positif Methamphetamine dalam ujian saringan air kencing.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Sekyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sekiranya sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali serta hukuman tempoh pengawasan pihak berkuasa selepas pembebasan sehingga tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun,” ujarnya.


