ARTIKEL

|FREEPIK.COM

Poster AI Dalam Perniagaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Era moden menuntut kita untuk mahir dengan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) atau Internet Benda (IoT) dalam pelbagai bidang.

Ini termasuk dalam dunia perniagaan untuk penghasilan poster dan promosi.

Promosi dalam perniagaan penting sebagai alat komunikasi di antara pelanggan dengan peniaga untuk sesuatu produk atau perkhidmatan.

Oleh itu, penggunaan poster sebagai bahan promosi semakin meluas kerana maklumat berkaitan produk boleh disampaikan dengan pantas dan mudah.

Persaingan dalam pasaran pula mendorong peniaga untuk menghasilkan bahan promosi yang lebih menarik bagi mendapatkan perhatian pengguna.

Jika sebelum ini peniaga perlu mendapatkan khidmat pereka grafik atau mengambil masa berjam-jam menghasilkan bahan pemasaran, kini poster boleh dihasilkan dalam tempoh beberapa minit dengan bantuan AI.

Kemudahan ini sememangnya memberi kelebihan, khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana.

Peniaga hanya perlu meletakkan ‘prompt’ atau maklumat berkaitan perniagaan, kemudian AI akan menghasilkan reka bentuk poster lengkap dengan cadangan warna, susun atur, imej dan elemen grafik yang kelihatan ‘menarik’.

Namun, di sebalik kemudahan tersebut, penggunaan poster AI mempunyai beberapa kelemahan. Antaranya bahan promosi yang dihasilkan tidak benar-benar menggambarkan identiti sesebuah perniagaan atau produk.

Reka bentuk yang dihasilkan mungkin kelihatan terlalu umum atau mempunyai persamaan dengan poster perniagaan yang lain.

Sebelum ini pernah tular di media sosial berkaitan pelanggan yang memilih untuk tidak singgah di kedai yang menggunakan poster AI.

Poster AI dikatakan tidak benar-benar memahami konteks perniagaan seperti manusia. ‘Kerja mudah’ tersebut menghasilkan gambar terutamanya produk makanan yang kelihatan ‘awam’ – terlalu biasa dilihat.

Sebagai contoh, poster kedai minuman ABC mungkin mempunyai gaya yang hampir sama dari segi warna, fon dan susun atur dengan poster kedai nasi lemak, walaupun kedua-duanya menawarkan produk yang berbeza.

Selain itu, terlalu bergantung kepada AI boleh menyebabkan kemahiran kreatif manusia semakin kurang digunakan.

Ada yang mengatakan lebih baik ambil gambar sebenar tanpa perlu suntingan dan terus letak harga.

Upah pereka grafik sekiranya mampu. Kalau tidak mampu, guna gambar sebenar berbanding gambar animasi yang AI hasilkan.

Justeru, AI wajar dilihat sebagai alat bantuan, bukannya pengganti sepenuhnya kepada kreativiti manusia.

SUBJEKTIF

Pun begitu, seiring dengan perkembangan teknologi, AI semakin pintar menghasilkan pelbagai pilihan visual untuk dijadikan asas sebelum menghasilkan produk akhir.

Peniaga boleh menggunakan AI untuk mendapatkan idea awal, mencuba konsep atau mempercepat proses reka bentuk. Namun, keputusan akhir perlu melalui semakan manusia bagi memastikan maklumat tepat, bahasa betul dan reka bentuk selari dengan identiti jenama, tidak mengelirukan dan tidak menipu pelanggan.

Poster AI memang menawarkan banyak kelebihan dari segi masa, kos dan kemudahan. Namun, kelebihan tersebut datang bersama risiko seperti kehilangan identiti jenama, kesilapan maklumat, isu etika dan reka bentuk yang terlalu awam.

Dalam dunia perniagaan, poster yang baik bukan sekadar cantik dilihat, tetapi mampu menyampaikan mesej yang tepat dan membina kepercayaan pelanggan.

Penggunaan poster AI dalam perniagaan masih subjektif, bukan satu kesalahan yang perlu dihukum.

Kita tidak boleh pukul rata peniaga yang menggunakan AI sebagai hanya mengambil kerja mudah. Kita perlu biasakan diri dengan AI sekiranya tidak mahu ketinggalan.

Oleh itu, penggunaan AI paling berkesan adalah apabila teknologi digabungkan dengan pertimbangan, kreativiti dan sentuhan manusia.

Teknologi ini membantu peniaga menjimatkan masa, mengurangkan kos dan mendapatkan idea baharu, namun hasil yang dijana AI tidak seharusnya terus dijadikan produk akhir tanpa semakan dan penambahbaikan.

Peniaga perlu memastikan setiap poster yang dihasilkan mempunyai identiti tersendiri sekiranya berhasrat membina jenama perniagaan untuk jangka panjang.

BERITA LAIN

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha