MESKIPUN penternakan ikan kerapu di Sarawak masih baharu dan tidak begitu popular, namun ia mempunyai potensi untuk diusahakan.
Berdasarkan statistik Data Pengeluaran Ternakan Ikan Kerapu di Sarawak daripada Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS), sistem ternakan sangkar kerapu hibrid memberi hasil sebanyak 505 kilogram atau RM111,464.46.
Manakala, kerapu kertang pula berjaya mengeluarkan hasil sebanyak 617.20 kilogram (RM68,306.55) dan kerapu bara memberi hasil sebanyak 1,354 kilogram (RM197,291.93) bagi 2023.
Pegawai Perikanan Cawangan Akuakultur, Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS), Chai Pui Shan berkata, pelbagai usaha dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam memperkasakan sektor perikanan dan meningkatkan hasil penternakan.
Menurut Chai, sistem ternakan sangkar merupakan salah satu jenis ternakan yang diusahakan oleh penternak di Sarawak.
Penternak tersebut mengusahakan ternakan ikan siakap dan ikan kerapu dalam sangkar.
Tambahnya, ternakan ikan kerapu di bawah JPLS masih tidak begitu signifikan berbanding pengusaha luar yang lain.
Selain itu, Chai turut berkongsi usaha pihak Jabatan Perikanan Laut Sarawak dalam meningkatkan aktiviti penternakan kerapu.
Antaranya, dengan mengadakan program tadbir urus bersama-sama penternak dalam usaha mempelbagaikan spesies ternakan.
“Terdapat bantuan bawah program pembangunan akuakultur air payau melalui sistem penyampaian dan khidmat sokongan akuakultur dan penstrukturan semula komoditi akuakultur sistem ternakan di dalam sangkar, kolam, tangki dan sebagainya.
“Malah, penganjuran kursus kepada orang awam termasuk nelayan dalam ternakan akuakultur air payau turut dilaksanakan bagi meningkatkan pengetahuan menjalankan sendiri aktiviti tersebut,” katanya kepada Suara Sarawak.
BAKA BERKUALITI
Dalam pada itu, kajian dibuat oleh pihak Institut Penyelidikan Perikanan Malaysia Sarawak (FRI) dari segi baka yang baik (SPF) dan kawalan penyakit ikan dilakukan untuk meningkatkan kualiti dan hasil ternakan.
Malah, Pensijilan MyGAP Akuakultur juga merupakan usaha pihak JPLS bagi menjamin kualiti produk akuakultur.
Menurut Chai, pasaran ikan kerapu dilihat lebih memihak kepada pihak pengusaha restoran makanan laut berbanding di pasaran disebabkan harganya lebih mahal dan kebanyakan golongan sederhana tidak dapat membelinya.
Bagaimanapun, rekod pihak Biosekuriti Perikanan Bintawa buat masa ini memaklumkan tiada spesies ikan kerapu dieksport keluar negara.
“Kajian terperinci perlu dilaksanakan untuk mengetahui komposisi yang boleh menyediakan sumber protein omega tiga.
“Penternakan spesies kerapu hibrid dan kerapu kertang dengan kaedah amalan baik akuakultur sama ada melalui sistem ternakan kolam, tangki mahupun sangkar,” jelas Chai kepada pemberita.
Di samping itu, Chai berkata melalui ternakan membantu dalam meningkatkan keperluan nutrisi makanan dan keterjaminan makanan negara.
KETERJAMINAN MAKANAN
Justeru, kelebihan memberi jaminan pendapatan kepada nelayan adalah dari segi meningkatkan hasil pendapatan nelayan.
Namun, ia bergantung kepada keperluan pasaran memandangkan ternakan ikan kerapu ini mengambil masa yang agak panjang untuk mencapai saiz yang dikehendaki oleh pasaran dan berkemungkinan melambatkan tempoh keuntungan.
Bagi meningkatkan hasil pendapatan negeri, Chai memberitahu urus niaga dapat diwujudkan dengan pertambahan syarikat yang berdaftar dan peluang pekerjaan kepada warga tempatan mahupun asing.
“Cadangan saya, sentiasa memberi khidmat nasihat teknikal kepada penternak dan memberi peluang kepada nelayan setempat untuk menceburi bidang akuakultur.
“Pulangan hasil penternakan kepada Sarawak dapat direalisasikan apabila ada pihak tertentu mampu mewujudkan urus niaga dengan pertambahan syarikat berdaftar.
“Ia sekali gus memberi peluang pekerja dalam industri penternakan kerapu,” katanya.
Dalam pada itu, Chai mencadangkan potensi pasaran eksport kerapu ke pasar antarabangsa adalah ke Hong Kong dan Singapura.






