BINTANGOR: Tindakan memotong di garisan berkembar mengundang padah apabila polis mengeluarkan sekurang-kurangnya enam saman terhadap pengguna jalan raya dalam Ops Pematuhan (Memotong di Garisan Berkembar) di Jalan Sibu–Bintangor, hari ini.
Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintendan Tansli Mering berkata, operasi berkenaan dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah sebagai langkah meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
Menurut beliau, operasi itu bertujuan memastikan pengguna sentiasa mengutamakan disiplin dan mematuhi undang-undang lalu lintas ketika memandu khususnya di laluan berisiko tinggi.

Beliau menjelaskan bahawa tindakan memotong di garisan berkembar merupakan antara punca utama kemalangan jalan raya kerana perbuatan itu sering dilakukan di kawasan berselekoh selain mempunyai jarak penglihatan yang terhad.
“Tindakan memotong di garisan berkembar ini bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain kerana kita tidak mengetahui kedudukan kenderaan dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tansli berkata, perbuatan itu mencerminkan sikap mementingkan diri sendiri serta tidak bertanggungjawab yang boleh mengundang kemalangan serius atau meragut nyawa.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan mengelakkan perbuatan memotong di garisan berkembar demi keselamatan bersama.
“Tindakan tegas akan terus diambil sebagai langkah pencegahan dan operasi seumpama ini akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran serta memastikan peraturan jalan raya sentiasa dipatuhi,” tegasnya.



