ARTIKEL

Potret istimewa buat PREMIER SARAWAK

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Premier sangat istimewa di hati rakyat Sarawak. Bagi pelukis Dr. Ashari Hamdan, penghargaan itu diterjemahkan menerusi sebuah karya istimewa, iaitu potret Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang dilukis dengan penuh penghayatan.

Mengambil masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan, karya berkenaan bukan untuk dijual, sebaliknya disimpan sebagai koleksi peribadi oleh Dr. Ashari sebagai tanda penghargaan dan kenangkenangan kepada Abang Johari.

Bagi pelukis berusia 69 tahun itu, menghasilkan potret tokoh bukan sekadar meniru wajah pada kanvas, tetapi turut memerlukan penelitian terhadap karakter, ekspresi dan keperibadian individu yang dilukis.

Beliau lebih gembira apabila karya tersebut berpeluang dilihat sendiri oleh Abang Johari, sekali gus menjadi antara pengalaman paling bermakna sepanjang perjalanannya sebagai pelukis.

“Saya tidak berhasrat menjual lukisan ini.

Saya mahu menyimpannya sebagai koleksi peribadi kerana bagi saya, ini merupakan karya yang istimewa,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak pada Pameran dan Jualan Karya Lukisan Chroma Merdeka di Pustaka Negeri Sarawak baru-baru ini.

Karya berkenaan turut memperlihatkan pendekatan realisme yang menjadi antara asas penting dalam perjalanan seni Dr. Ashari sejak beliau mula memberikan tumpuan kepada bidang seni lukis sekitar 1973, ketika berada di Tingkatan Tiga.

Minat yang bermula sejak bangku sekolah itu akhirnya membawa beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Seni Gunaan dan Kreatif di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 1995 sebelum menamatkan pengajian pada 1999.

Namun, perjalanan hidupnya terlebih dahulu diwarnai pengalaman sebagai pendidik apabila beliau pernah berkhidmat sebagai guru besar di beberapa sekolah, termasuk Sekolah Rendah Tupong dan Sekolah Empila, Kota Samarahan.

Pelibatannya dalam persatuan kebudayaan di Jabatan Pendidikan kemudiannya membuka ruang untuk beliau kembali ke Kuching dan mendalami bidang seni dengan lebih serius.

Selepas menamatkan pengajian, Dr. Ashari kembali ke dunia pendidikan dan berkhidmat di SMK Batu Lintang sebelum berpindah ke Sekolah Seni Malaysia sekitar 2005 sebagai guru Seni Visual.

Pada 2013, beliau berpindah ke Sekolah Menengah St. Mary, Kuching, sebelum bersara daripada perkhidmatan perguruan pada 2017.

Persaraan bagaimanapun tidak pernah memisahkan beliau daripada dunia senebaliknya, masa selepas bersara dimanfaatkan sepenuhnya untuk berkarya sehingga akhirnya beliau membuka Galeri Ashat di Jalan Semariang, berhampiran Semariang Centre.

Walaupun terletak di tingkat dua, galeri tersebut tetap diuruskan sendiri oleh beliau setiap hari kerana dianggap sebagai rumah keduanya, iaitu tempat beliau berkarya, bertemu peminat seni dan berkongsi pengalaman dengan generasi muda.

Malah, Galeri Ashat kini turut menjadi ruang pembelajaran apabila menempatkan enam pelajar praktikal yang berpeluang menyaksikan sendiri proses penghasilan karya serta memahami pengurusan sebuah galeri seni.

Bagi Dr. Ashari, kehadiran pelajar berkenaan bukan sekadar membantu operasi galeri, malah turut mewujudkan pertukaran ilmu antara generasi.

Beliau percaya bahawa seni perlu dipelajari melalui pengalaman, pemerhatian dan keberanian untuk mencuba, termasuk meneroka bahan serta teknik yang tidak semestinya konvensional.

Selain realisme, Dr. Ashari turut meneroka pendekatan Ekspresionisme Abstrak selepas merasakan perlunya keluar daripada gaya yang sama setelah sekian lama menghasilkan karya realistik.

Penerokaan itu turut diperkukuh oleh pengajiannya pada peringkat doktor falsafah dalam bidang berkaitan seni visual, khususnya evolusi seni catan.

Antara eksperimen menarik yang dilakukannya ialah penggunaan pewarna makanan sebagai bahan dalam penghasilan karya.

Menurutnya, bahan yang mudah diperoleh itu boleh membuka ruang kepada pelajar, khususnya kanak-kanak, untuk bermain dengan warna dan meneroka kreativiti tanpa terlalu terikat pada kaedah konvensional.

“Pada saya, setiap kanakkanak sebenarnya mempunyai jiwa seni. Sebelum mereka belajar menulis A, B dan C, mereka sudah membuat garisan dan contengan di atas kertas.

“Semua orang boleh menjadi artis, tetapi cabarannya ialah bagaimana kita membimbing dan mengembangkan potensi mereka,” katanya.

Seiring dengan perkembangan teknologi masa kini, Dr. Ashari turut melihat kecerdasan buatan (AI) sebagai alat yang boleh dimanfaatkan dalam dunia seni, bukannya sesuatu yang perlu ditakuti.

Bagaimanapun, beliau percaya karya yang dihasilkan secara manual tetap mempunyai keistimewaan tersendiri kerana proses melukis dengan tangan membawa bersama jiwa, emosi, pengalaman dan penghayatan seseorang pelukis.

Bagi beliau, teknologi dan seni konvensional boleh bergerak seiring sekiranya AI digunakan sebagai alat bantu tanpa menghilangkan sentuhan manusia yang menjadi nilai penting dalam sesebuah karya.

Sepanjang perjalanan seninya, Dr. Ashari menghasilkan lebih daripada 30 karya yang pernah dipamerkan, manakala koleksi keseluruhan di Galeri Ashat mencecah kira-kira 1,359 karya asli yang masih belum dipamerkan kepada umum.

Selain potret Premier, antara karya yang pernah mencuri perhatian ialah Premier on Ride yang berjaya dijual pada harga RM21,000.

Beliau turut menggunakan seni sebagai medium untuk mengangkat sejarah dan warisan masyarakat Sarawak, termasuk budaya Iban, Kenyah, Kayan dan Melayu.

Menerusi tema Kroma Merdeka, beliau menggunakan permainan warna untuk menggambarkan perjalanan kehidupan sebelum dan selepas kemerdekaan, selain mengetengahkan tokoh, budaya serta kehidupan masyarakat.

Dalam pada itu, warisan keringkam juga menjadi antara perkara yang dekat di hatinya kerana Dr. Ashari membesar di Kampung Tupong, Kuching, yang suatu ketika dahulu terkenal dengan kegiatan menghasilkan keringkam.

Kenangan melihat wanita berusia menghasilkan keringkam ketika zaman kanak-kanak serta kewujudan peralatan membuat keringkam di rumah keluarganya menjadi antara sebab beliau mahu warisan itu terus diangkat.

Kini, Dr. Ashari mahu pengalaman dan ilmu yang dikumpulkannya sepanjang hampir lima dekad dalam dunia seni tidak terhenti pada dirinya.

Sebaliknya, beliau mahu Galeri Ashat terus menjadi ruang untuk golongan muda mengenali seni, mengembangkan bakat dan mendekati warisan budaya Sarawak.

Beliau juga berhasrat menubuhkan persatuan sebagai wadah kepada golongan muda yang berminat dalam bidang seni.

Bagi Dr Ashari, karya seni mungkin bermula dengan sehelai kanvas, warna dan berus, tetapi nilainya menjadi lebih besar apabila karya itu mampu menyimpan sejarah, menyampaikan penghargaan dan menjadi warisan untuk generasi akan datang.

BERITA LAIN

Tubi Mbos khazanah kulinari Bidayuh

TUBI mbos merupakan warisan kulinari masyarakat Bidayuh Biatah di Kampung Pain Bojong yang lahir daripada kearifan tempatan sebagai bekalan makanan mesra alam untuk penduduk ke

BERITA TERBARU