SARIKEI: Selepas sembilan tahun menyepi, Sarikei Powerboat Race 2025 kembali menghangatkan suasana Tebingan Penumpang 1 apabila ia bakal berlangsung sempena Sarikei Festival 2025 pada 1 hingga 3 Ogos ini.
Acara berprestij anjuran Pejabat Residen Bahagian Sarikei dan Pejabat Daerah Sarikei itu dijangka menarik perhatian ramai peminat sukan permotoran air dari seluruh negara.
Menurut jurucakap penganjur, perlumbaan akan bermula jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang menyaksikan bot-bot berkuasa tinggi dengan kelajuan dan aksi mendebarkan.
Terdapat lapan kategori dipertandingkan, iaitu SST 60 Formula 3 Class, SST 45 Formula Lights, 50HP Tunnelboat, 30HP 3CYL Tunnelboat, 30HP 2CYL Tunnelboat, 18HP Tunnelboat,18HP Longboat dan
5HP Openboat Class
Penganjur turut menawarkan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai sebanyak RM49,250, menjadikan acara ini antara yang paling dinanti-nantikan peminat sukan air di negeri ini.
“Penganjuran semula selepas sembilan tahun ini bukan sahaja mengubat rindu penduduk Sarikei terhadap suasana perlumbaan bot laju, malah diyakini dapat menyuntik semangat baharu kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan,” katanya.
Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jawatankuasa Kerja Sarikei Powerboat Race 2025 di Pejabat Daerah Sarikei, Aras 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei melalui talian 084-656721 / 084-655371 / 084-656725 (Yazmin / Sheren / Shanta).
Pendaftaran peserta pula boleh dilakukan melalui Connie Edmund di talian 017-8090669.



