SARIKEI: Kontinjen Miri mendominasi arena sukan pendidikan khas apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sarawak 2025 yang berakhir di Kompleks Sukan Sarikei, di sini, hari ini.
Pasukan dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Miri itu mengungguli kejohanan dengan kutipan 27 pingat emas, 28 perak dan 20 gangsa sekali gus menewaskan 29 kontinjen lain dalam kejohanan tersebut.
Naib juara milik PPD Kuching dengan meraih 19 emas, 12 perak dan lima gangsa, sementara PPD Bintulu memenangi tempat ketiga dengan kutipan 16 emas, lima perak dan empat gangsa.
Dua atlet dari Kuching, Muhammad Al Syarikin Mohamad Faizul Ariffin dan Zoe Lau Zhi Qi dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati terbaik.
Kejohanan berlangsung selama empat hari bukan sahaja memperlihatkan bakat luar biasa dalam kalangan murid berkeperluan khas, malah menyerlahkan semangat kesukanan dan nilai inklusif yang tinggi.
Majlis penutupan rasmi telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei, Datuk Seri Huang Tiong Sii.
Sebagai tanda sokongan kepada pembangunan pendidikan di daerah ini, beliau mengumumkan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada Tabung Pembangunan Pendidikan Sarikei.
“Diharapkan dengan adanya sumbangan ini, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkasa sektor pendidikan khas, selaras dengan komitmen kerajaan dalam memartabatkan potensi anak-anak istimewa.
“Saya juga berharap aktiviti sukan dalam kalangan pelajar pendidikan khas terus diperkasa secara berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan penganjuran kejohanan berjalan lancar.



