BINTULU: Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 24 keluarga melibatkan 108 mangsa yang terjejas akibat ribut membabitkan enam blok Pangsapuri Iris Garden di Jalan Sultan Iskandar, di sini.
Pegawai Daerah Bintulu Muhammad Dino Amid berkata PPS Balai Raya Kampung Assyakirin Fasa 1 dibuka pada jam 4 petang tadi.
Menurutnya lagi, sebuah PPS akan dibuka di Dewan Muktamar Kampung Jabai sekiranya terdapat penambahan mangsa.
“Setakat ini, kita masih mengumpul maklumat dan jumlah mangsa yang terjejas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Insiden tersebut turut mendapat respons daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing, yang kemudiannya, mengarahkan kakitangan di pusat khidmatnya untuk turun padang meninjau keadaan.
ADUN Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming turut bergegas ke lokasi sejurus dimaklumkan mengenai insiden tersebut.
Dalam kejadian sekitar jam 2 petang tadi, bumbung tingkat lima di enam blok Pangsapuri Iris Garden tercabut dan berterbangan sehingga menyebabkan tiga kenderaan mengalami kerosakan.
Bagaimanapun, tiada mangsa yang cedera dihempap bumbung tersebut.
Kejadian puting beliung yang pertama kali melanda kawasan itu menyebabkan 24 keluarga pangsapuri itu terjejas kerana kehilangan bumbung rumah.


