KOTA SAMARAHAN: Suasana tenang kembali di Kampung Plaie dengan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Suarah ditutup sepenuhnya hari ini selepas banjir yang melanda beberapa kawasan reda.
Seramai 13 mangsa dari tiga keluarga yang terjejas akibat banjir telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing untuk meneruskan kerja pembersihan dan memulihkan kehidupan mereka.
Pegawai Daerah Samarahan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian menyeluruh oleh agensi berkaitan.
“Pemantauan bersama Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan
Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung mendapati keadaan semasa adalah selamat dan tiada lagi ancaman banjir.
“PPS Dewan Suarah ditutup pada jam 11 pagi tadi selepas semua mangsa kembali ke rumah masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi penyelamat dan pihak terlibat atas kerjasama sepanjang operasi pengurusan banjir.
“JPBD Samarahan akan terus melakukan pemantauan berkala di kawasan berisiko.
“Ini bagi memastikan kesiapsiagaan jika berlaku peningkatan paras air atau perubahan cuaca,”ujarnya.
TAMAT//



