KUCHING: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Sungai Bedaun yang dibuka awal pagi tadi telah ditutup pada jam 6.30 petang.
Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak dalam kenyataan berkata, kesemua 68 penduduk di kawasan Kampung Sungai Bedaun telah kembali ke rumah masing-masing.
“Terdahulu, PPS tersebut telah dibuka pada jam 1.35 pagi susulan terjejas akibat banjir yang melanda di kawasan tersebut, hari ini,” katanya.
Terdapat 14 buah keluarga daripada 12 buah rumah telah berjaya dipindahkan.

Kesemua 68 orang mangsa terdiri daripada lima orang bayi, 23 kanak-kanak, 33 orang golongan dewasa, tiga golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan empat warga emas berjaya dipindahkan.
Jumlah mangsa iaitu seramai 68 orang terdiri daripad 33 orang kaum lelaki dan 35 orang perempuan.
Kesemua mangsa telah mendapat agihan barangan keperluan sementara dan set tidur di PPS oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara kira-kira jam 9 pagi, pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut melawat ke PPS terbabit bagi melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap mangsa-mangsa banjir.







