KUCHING: Tawaran pemeriksaan rumah percuma yang kelihatan meyakinkan di media sosial akhirnya bertukar menjadi beban kewangan apabila beberapa pengguna di Sarawak mendakwa dikenakan caj ribuan ringgit selepas menggunakan perkhidmatan pembaikan yang diiklankan di Facebook.
Presiden Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS) Dr Wynson Ong Teck Ping berkata, pihaknya menerima peningkatan aduan membabitkan perkhidmatan tersebut dengan kes dilaporkan di beberapa kawasan utama termasuk Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu.
“Jumlah kerugian yang dilaporkan bagi setiap mangsa dianggarkan mencecah antara ribuan ringgit,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Dr Wynson, kebanyakan pengguna tertarik dengan iklan yang menawarkan pemeriksaan kerosakan rumah secara percuma sebelum individu tertentu hadir ke kediaman pelanggan untuk menilai dan menjalankan kerja pembaikan.
Dalam beberapa kes katanya, mangsa mendakwa kerja pembaikan dilakukan dengan segera tanpa penerangan jelas kos sebenar, walaupun mereka meminta penjelasan sebelum kerja-kerja dimulakan.
“Selepas kerja selesai, pengguna didakwa diminta membuat pembayaran yang tinggi tanpa diberikan invois atau pecahan kos yang terperinci, menyebabkan mereka terkejut dengan jumlah yang dikenakan.
“Lebih membimbangkan, bayaran tersebut dikatakan diminta dibuat terus ke akaun bank peribadi sebelum pihak berkenaan menghilangkan diri dan gagal dihubungi semula,” ujarnya.
Tambah beliau, pola aduan yang diterima menunjukkan kemungkinan wujudnya operasi yang lebih tersusun dan bukan sekadar kes terpencil.
Beliau berkata, persamaan modus operandi di beberapa lokasi berbeza menimbulkan kebimbangan bahawa pengguna sedang menjadi sasaran melalui platform media sosial dengan cara yang sama.
Menurutnya, aspek keselamatan turut menjadi perhatian kerana pekerja yang hadir ke rumah mangsa dipercayai warga asing dari China, dan status permit kerja mereka perlu disemak oleh pihak berkuasa.
Katanya, keadaan ini membuka risiko kepada pengguna apabila individu yang tidak dikenali dibenarkan memasuki kediaman persendirian tanpa pengesahan latar belakang yang jelas.
“Sehubungan itu, PPS menggesa Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan agensi berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti individu serta syarikat yang terlibat.
“Orang ramai turut dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan iklan perkhidmatan pembaikan rumah di media sosial yang tidak mempunyai alamat perniagaan sah, lesen yang jelas atau rekod yang boleh disemak,” jelasnya.


