JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyambut baik tawaran bantuan Malaysia bagi menangani kebakaran hutan di negara itu yang merangkumi sokongan aset pesawat, helikopter, serta kepakaran pasukan pemadam kebakaran.
Beliau menyatakan perkara tersebut selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di kediaman Presiden di Hambalang, Bogor pada Jumaat.
Prabowo menjelaskan bahawa isu alam sekitar tersebut memberi kesan kepada banyak pihak termasuk negara jiran, justeru beliau menghargai kesediaan Malaysia untuk menghulurkan bantuan bagi memadamkan kebakaran khususnya di Kalimantan.
Selain Malaysia, Indonesia turut menerima tawaran bantuan daripada negara lain seperti Jepun sambil merangka langkah pencegahan menyeluruh bagi memastikan masalah kebakaran hutan tidak berulang pada masa hadapan.
Dalam pertemuan yang turut membincangkan kerjasama industri halal itu, Prabowo menegaskan kepentingan hubungan Malaysia-Indonesia untuk terus dipelihara dan diperkukuh seperti dilapor Bernama.



