MIRI: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang mengakhiri lawatan Tahun Baharu Cina (TBC) di Miri dengan melawat rakan lamanya yang merupakan pemilik Dragon Seafood Restaurant, Chung Tai Yu.
Beliau beserta rombongan tiba di restoran berkenaan sekitar jam 10.15 pagi, dan ketibaannya disambut dengan persembahan tarian naga.

Pada majlis rumah terbuka tersebut, Abang Johari telah diberikan kejutan oleh Chung Tai Yu sekeluarga apabila disediakan kek sempena ulang tahun ketujuh perkhidmatannya sebagai Premier Sarawak.
Beliau serta isteri berkesempatan meluangkan masa selama lebih kurang sejam setengah bersama keluarga Chung sebelum meneruskan kunjungan TBC ke lokasi lain yang telah dijadualkan.

Kunjungan beliau sempena TBC akan diteruskan ke Bahagian Sibu dengan mengunjungi kediaman Temenggong Datuk Vincent Lau Lee Ming, pada sebelah petang.
Manakala, pada sebelah malam pula, beliau dijangka akan menghadiri Perhimpunan Tahunan TBC 2024 – Persatuan Cina Bersatu Bahagian Sibu di Kingwood Hotel.
Pada keesokan harinya pula, Abang Johari dijadual melawat kediaman Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Micheal Tiang Ming Tee, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Clarence Ting Ing Horh, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Ching Jin Ek.



