KUCHING: Pihak berkuasa tempatan (PBT) kini perlu melangkaui fungsi asas perbandaran dengan berperanan sebagai perancang, inovator, pemudah cara dan pembina komuniti yang berdaya tahan.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peranan PBT telah berkembang dengan ketara apabila mereka perlu meningkatkan kesihatan awam, memperkukuh keterangkuman sosial, menerima penggunaan teknologi serta meningkatkan kelestarian alam sekitar.

“Pada masa lalu, masyarakat sering mengaitkan pihak berkuasa tempatan hanya dengan tugas menyelenggara jalan raya, membersihkan longkang, mengutip sampah, memotong rumput dan mengeluarkan lesen.
“Walaupun tanggungjawab tersebut masih penting, ia tidak lagi mencukupi. Justeru, saya gembira melihat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menerima serta melaksanakan tanggungjawab yang lebih luas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada Sambutan Hari Bandaraya Kuching Ke-38 di Teater MBKS, di sini, hari ini.
Menurutnya, peluasan peranan PBT itu selari dengan perjalanan pembangunan Kuching selama 38 tahun yang dibentuk menerusi kepimpinan berwawasan, dasar yang kukuh serta dedikasi ramai individu dalam memperkasa bandar raya tersebut.
“Daripada sebuah pekan sederhana di tebing sungai, Kuching telah berubah menjadi salah sebuah bandar raya paling sesuai didiami di Malaysia dan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Hari ini, Kuching dikenali sebagai bandar raya yang bersih dan hijau serta kaya dengan warisan budaya, pelancongan, semangat komuniti dan reputasinya yang semakin berkembang sebagai sebuah bandar raya kreatif dan mampan.
“Pencapaian Kuching merupakan hasil sumbangan setiap pentadbiran PBT dalam pembangunan infrastruktur, perkhidmatan awam, alam sekitar, pelancongan, kebudayaan, komuniti dan transformasi digital,” katanya.
Beliau berkata, bandar raya memainkan peranan penting dalam mencapai aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) kerana PBT merupakan pentadbiran yang paling hampir dengan rakyat.
“Selain itu, kedua-dua PBT aktif menyokong aspirasi Sarawak ke arah ekonomi rendah karbon menerusi penanaman pokok, kawasan awam hijau, kitar semula, tenaga boleh diperbaharui, perancangan bandar mampan dan pendidikan alam sekitar.
“Komitmen yang ditunjukkan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan dalam memperkasakan agenda Bandar Pintar juga amat menggalakkan apabila penggunaan teknologi digital menjadikan perkhidmatan perbandaran lebih cekap, telus dan mudah diakses.
“Perkhidmatan pelesenan dalam talian, pembayaran digital, pengurusan trafik pintar, platform maklum balas awam dan pemantauan alam sekitar sedang menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, PBT turut berperanan sebagai pemangkin ekonomi tempatan dengan menyediakan peluang kepada peniaga, usahawan dan perusahaan kecil menerusi program seperti Pesta Kuching.
“Pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO juga membuka peluang kepada usahawan makanan, cef, petani, pengeluar tempatan dan pengusaha pelancongan,” ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau berkata, kedua-dua PBT turut melaksanakan inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) dan warga emas bagi memastikan pembangunan bandar raya memberi manfaat kepada setiap generasi.






