ARTIKEL

Wilfred Yap (tengah) menyampaikan cek cura kepada pihak Lions Nursing Home pada Festival Makanan Amal Tahunan 2025 anjuran Lions Nursing Home di Kuching, hari ini.

Premier Sarawak pertimbang pencen tetap untuk warga emas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dalam usaha menghadapi realiti masyarakat menua, Festival Makanan Amal Tahunan anjuran Lions Nursing Home 2025 menghimpunkan komuniti setempat bagi mengumpul dana serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan warga emas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap, berkata perhatian terhadap warga emas perlu dipertingkat selari dengan perubahan demografi negeri ini.

“Tumpuan sering diberikan kepada kanak-kanak dan belia, namun warga emas juga perlu diberikan kasih sayang serta perhatian.

“Program seperti ini membuktikan keprihatinan Lions terhadap golongan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, bagi merasmikan festival yang berlangsung di Jalan Stutong, BDC, di sini.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak komited menjaga kebajikan rakyat merangkumi seluruh kitaran hidup.

“Melalui program Kenyalang Gold Card (KGC), bantuan RM3,000 disalurkan kepada keluarga apabila berlaku kematian.

“Jika ekonomi terus berkembang, Premier Sarawak turut mempertimbangkan penyediaan pencen tetap kepada warga emas yang bakal menjadi yang pertama di Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Yap turut memberikan sokongan tambahan menerusi sumbangan RM10,000 daripada dana Projek Mesra Rakyat (MRP) beliau kepada penganjuran festival berkenaan.

“Saya dimaklumkan kutipan setakat ini ialah RM388,000. Oleh itu, bagi membantu menambah dana, saya menyumbang RM10,000 daripada MRP saya.

“Ini menjadikan keseluruhan kutipan dana kali ini sebanyak RM404,500,” tambahnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pemegang gerai peserta serta ahli Leo dari Sekolah Swasta St Joseph Kuching atas komitmen memeriahkan festival.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU