SIBU: Jawatankuasa pasukan petugas memantau pembinaan jambatan di bandar ini akan diketuai oleh ADUN Nangka Datuk Dr. Annuar Rapaee dan ADUN Pelawan Datuk Michael Tiang Ming Tee.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pasukan petugas yang bakal ditubuhkan ini juga bertanggungjawab untuk meneliti pembinaan jambatan yang menghubungkan tebing barat Sibu (Sibu West Bank) ke pusat bandar (Sibu Town Centre).
Katanya, Pengerusi Cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bawang Assan Kaunselor Kevin Lau Kor Jie mencadangkan agar kerajaan membina jambatan yang menghubungkan kawasan berkenaan.
“Saya bertanya kepada Kelvin Lau, berapa anggaran kasar jarak jambatan itu?
Beliau memaklumkan ia sepanjang 400 meter dan merentasi Sungai Igan.
“Sarawak sudah berjaya melaksanakan pembinaan tujuh kilometer (km) Jambatan Batang Lupar, dan pembinaan jambatan sepanjang 400 meter ini tidak menjadi masalah,” katanya ketika berucap sempen sambutan Tahun Baharu Cina SUPP, di sini, semalam.
Tambah Abang Johari, beliau melihat cadangan yang dikemukakan oleh Kelvin Lau itu merupakan idea baharu dan perlu disokong.
“Kelvin Lau ini mungkin mahu lawan Shanghai di China, di sana banyak jambatan.
“Jadi, perkara sebegini yang kita mahu. Ada idea baharu, cara berfikir baharu dan rakyat mesti sokong.
“Justeru, saya meminta Dr. Annuar dan Michael untuk mengetuai jawatankuasa pasukan petugas untuk memantau pembinaan jambatan ini,” tegasnya.
Terdahulu, semasa menyampaikan ucapan alu-aluan, Kelvin Lau mengemukakan cadangan berhubung projek pembinaan jambatan untuk menghubungkan tebing barat Sibu ke pusat bandar.
“Saya berharap agar cadangan ini dapat dipertimbangkan, supaya satu jambatan boleh dibina di kawasan berkenaan.
“Saya percaya pembinaan jambatan ini akan melonjakkan perkembangan bandar ini khususnya di kawasan Bawang Assan,” jelasnya.





