TOKYO: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bakal menyampaikan amanat khas sempena ulang tahun ke-30 jalinan kerjasama antara Persatuan Jepun-Malaysia (JMA) dan Jabatan Hutan Sarawak.
Lawatan rasmi beliau turut disusuli dengan acara kemuncak penganugerahan The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star daripada Maharaja Naruhito.
Anugerah berprestij itu merupakan sebahagian daripada Autumn Imperial Decorations 2025 yang diumumkan oleh Kerajaan Jepun baru-baru ini.
Penganugerahan tersebut menandakan pengiktirafan tertinggi Jepun terhadap sumbangan besar Abang Johari dalam memperkukuh hubungan strategik dan diplomatik antara Jepun dan Malaysia, khususnya dalam bidang pembangunan lestari serta pengurusan sumber hutan.
Abang Johari selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun, pada jam 8.50 malam (Ahad) waktu tempatan.
Kehadiran beliau disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abdul Ghany.



