Premis karaoke beroperasi lebih masa diserbu

BINTULU: Kegembiraan sepuluh pelanggan berkaraoke terlerai setelah premis tersebut diserbu polis akibat beroperasi melebihi masa prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam.
Malah kesemua individu terbabit turut dikompaun di bawah Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zulkipli Suhaili berkata premis itu dikesan masih beroperasi pada jam 11 malam oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Bintulu ketika melakukan rondaan di sekitar bandar berkenaan.
“Pemeriksaan di tingkat satu premis mendapati terdapat sebuah bilik karaoke dipenuhi sekumpulan lelaki sedang berhibur berkaraoke dan minum minuman keras.
“Kesemua lelaki tempatan itu berumur antara 22 tahun hingga 51 tahun.
“Semakan lanjut juga mendapati bilik karaoke itu beroperasi tanpa lesen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, turut ditahan penjaga premis iaitu lelaki tempatan berumur 37 tahun di bawah seksyen 5(1) Ordinan Hiburan 2001 dan Per 3 PPPPB 2021.
Tegas beliau, pemantaun harian ke atas premis- premis kini giat dilakukan untuk memastikan kesemua masyarakat mematuhi SOP PKPB dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

PERIKSA… Polis membuat pemeriksaan ke atas beberapa pelanggan yang ditahan di bilik karaoke.