MOSCOW: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menggesa negara-negara Eropah mempercepat pengeluaran senjata serta melabur dalam industri pertahanan Ukraine, selain mendesak Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk mengadakan pertemuan susulan kritikan dari Washington, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Industri pertahanan dan ketenteraan di Eropah telah meningkatkan pengeluaran susulan perang ini, namun ia masih belum mencukupi. Kita perlu melabur lebih banyak dalam pengeluaran di Ukraine dan memerlukan dana tambahan,” kata Zelensky dalam sidang media bersama pemimpin Eropah, Isnin lalu.
Dalam pertemuan dengan pemimpin G7, Zelensky turut menyeru Trump agar segera mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu keselamatan dan kestabilan.
“Kita perlu bertemu secepat mungkin untuk menentukan syarat keamanan dan jaminan keselamatan. Pasukan kami telah bekerjasama secara produktif dengan AS mengenai perjanjian ekonomi yang kami harap dapat dimeterai di Washington,” katanya.
Sementara itu, pada Rabu, Trump mengkritik Zelensky kerana enggan mengadakan pilihan raya, menyifatkannya sebagai seorang “diktator” serta mendakwa pemimpin Ukraine itu mahu terus “mengaut keuntungan dengan mudah” di tengah-tengah konflik berterusan dengan Rusia.— BERNAMA



