ARTIKEL

Facebook Dr. Sim Kui Hian

Presiden Xi pernah jejak kaki di Sibu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dalam keterujaan Malaysia menyambut lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping minggu ini, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa beliau pernah menjejak kaki ke Bumi Kenyalang. Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian mendedahkan satu fakta menarik yang mengaitkan Presiden Xi dan memberitahu, beliau pernah menjejakkan kaki ke bandar Sibu pada 1992.

“Ramai tidak tahu bahawa Presiden Xi pernah datang ke Sibu semasa beliau menjadi Setiausaha Parti Komunis China Wilayah Fujian.

Beliau memaklumkan sendiri kepada saya perkara ini ketika kami bertemu pada 2016,” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.

Untuk rekod, ketibaan delegasi Xi Jinping disambut mesra oleh pengasas dan mantan Pengarah Urusan KTS, mendiang Lau Hui Kang (Datuk Seri) di Lapangan Terbang Sibu.

Lawatan itu sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan antara wilayah Fujian dengan Sarawak, khususnya dengan komuniti Foochow di Sibu yang memiliki akar sejarah dan hubungan budaya dengan Fujian.

Hubungan ini terjalin sejak gelombang migrasi awal dari selatan China ke Sarawak pada penghujung abad ke-19. Mengimbau kenangan itu Dr. Sim memberitahu semasa pertemuan bersama Presiden Xi pada 2016 itu berlangsung pada salah satu sidang kemuncak antarabangsa.

Dalam pertemuan tersebut, beliau memperkenal dirinya sebagai anak kelahiran Sarawak dan generasi kedua dalam hubungan dua hala MalaysiaChina, mengikut jejak bapanya mendiang Tan Sri Datuk Amar Sim Kheng Hong, yang merupakan salah seorang tokoh penting dalam rombongan rasmi Malaysia semasa lawatan diplomatik pertama ke China pada 1974.

“Saya memberitahu Presiden Xi, saya anak Sarawak.

“Bapa saya pernah mewakili Sarawak semasa lawatan bersejarah diketuai oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak. Beliau kemudian memberitahu saya bahawa pernah datang ke Sibu.

“Saya berasa agak malu kerana tidak tahu langsung bahawa beliau pernah menjejakkan kaki ke Sibu. Waktu kunjungan tersebut, saya masih berada di Melbourne, Australia melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

“Tetapi kini, saya berbangga bahawa Sarawak khususnya Sibu, pernah menerima lawatan pemimpin besar China sebelum beliau menjadi presiden,” katanya.

Ujarnya, selepas itu beberapa Setiausaha Parti Komunis China Wilayah Fujian yang baharu turut mengunjungi Sibu beberapa tahun kebelakangan ini, dalam usaha mengikuti jejak langkah Presiden Xi dan memperkukuh kerjasama dua hala di peringkat subnasional.

“Persahabatan antara Sarawak dengan Wilayah Fujian, yang telah lama terjalin, terus diperkukuh dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar lawatan Presiden Xi yang bermula semalam, akan membuka lembaran baharu dalam kerjasama antara China dengan Sarawak khususnya sebagai negeri yang berpotensi tinggi dalam sektor tenaga, sumber asli dan hubungan budaya serta memainkan peranan penting memperkukuhkan hubungan dalam konteks pelaburan dan kerjasama ekonomi.

Lawatan rasmi Presiden Xi ke Malaysia selama tiga hari kali ini, merupakan yang kedua dalam tempoh 12 tahun, selepas yang terakhir pada 2013, sekali gus bertepatan dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China yang dimulakan pada 31 Mei 1974.

Selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion pada 2024, mewakili 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan global Malaysia (RM2.88 trilion).

Menerusi jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Presiden Xi dijadual mengadakan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan agenda utama yang merangkumi kerjasama strategik dalam bidang perdagangan, teknologi, pendidikan, serta pembangunan prasarana menerusi Inisiatif Jalur dan Laluan.

Lawatan tersebut juga sebahagian daripada siri lawatan negara pertama Presiden China itu pada tahun ini, yang turut membabitkan Vietnam dan Kemboja.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha