ARTIKEL

Prestasi cemerlang kewartawanan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Akhbar Suara Sarawak terus mengukuhkan dominasinya dalam Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) apabila membolot 26 anugerah pada tahun ini.

Sejak mula beroperasi pada 2019, akhbar ini terus menunjukkan konsistensi dalam menghasilkan laporan berita berimpak tinggi dan berkualiti bagi kategori bahasa Melayu dan bahasa Iban, dengan mengumpul sebanyak 159 anugerah setakat ini.

Daripada 26 anugerah yang dimenangi, sebanyak 14 anugerah diraih dalam kategori bahasa Melayu, melibatkan lima emas, dua perak dan tujuh gangsa, manakala 12 lagi anugerah diperoleh daripada kategori bahasa Iban dengan empat emas, empat perak dan empat gangsa.

Lebih manis, Anugerah Premier Sarawak bagi kategori bahasa Melayu yang membawa hadiah wang tunai bernilai RM5,000 dimenangi oleh Zarina Abdullah menerusi karya Generasi Merdeka, Generasi Bebas Buli.

Dalam masa yang sama, timbalan ketua wartawan itu turut meraih anugerah emas dalam Anugerah Kewartawanan Rencana Berita, perak bagi Anugerah Kewartawanan Kelestarian serta gangsa dalam Anugerah Laporan Berita.

Wartawan, Syamimi Husna Saji, turut muncul sebagai antara penyumbang utama kejayaan Suara Sarawak apabila memenangi dua anugerah emas, masing-masing dalam Anugerah Laporan Berita dan Anugerah Laporan Sukan.

Sementara itu, Kalsum Mohammadin mencatat tiga kemenangan merangkumi emas, perak dan gangsa dalam Anugerah Kewartawanan Kelestarian, Anugerah Kesejahteraan Komuniti serta Anugerah Kewartawanan Perniagaan dan Ekonomi.

Turut menyumbang kejayaan ialah Prisca Empiang Robin,Nickelyson Lakun dan Siti Nurain Ratani yang masingmasing memperoleh satu anugerah gangsa menerusi Anugerah Kewartawanan Rencana Berita, Anugerah Kewartawanan Ekonomi Digital dan Anugerah Kesejahteraan Komuniti.

Sementara itu, jurugambar Mohd Alif Noni turut meraih anugerah emas dan gangsa dalam kategori esei foto menerusi karya bergambar berimpak tinggi.

Dalam kategori bahasa Iban pula, Isabella Nisa Inchang meraih empat anugerah iaitu satu emas, satu perak serta dua gangsa, diikuti Indun Silong yang membawa pulang satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Lina Kunjak membolot masing-masing satu emas, satu perak dan satu gangsa, manakala Sylvester Riang Anding memenangi satu emas dan satu gangsa.

Majlis yang disempurnakan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada malam Sabtu itu menerima 433 penyertaan melibatkan 10 kategori merangkumi bahasa Melayu, bahasa Iban, bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

Berucap pada majlis tersebut, Abang Johari berkata, wartawan di negeri ini disifatkan sebagai berwibawa dalam menyampaikan maklumat sahih, khususnya ketika berhadapan dengan era ledakan maklumat masa kini.

Menurut beliau, cabaran utama dalam landskap media hari ini ialah usaha mencari kebenaran dan memastikan maklumat yang disampaikan berasaskan fakta yang tepat.

Beliau turut memuji Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), Ronnie Teo, yang menyentuh kepentingan kesahihan fakta dan maklumat, dan perkara itu wajar dipuji.

“Wartawan Sarawak ialah wartawan yang mementingkan fakta dan kesahihan maklumat, wartawan yang berwibawa. 

Anda menulis, menganalisis dan seterusnya menyampaikan mesej yang boleh dipercayai kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut membezakan kewartawanan profesional dengan fenomena semasa apabila semakin ramai pihak tampil dengan platform masing-masing, termasuk audio siar peribadi.

“Dahulu, audio siar tidak wujud seperti hari ini, namun kini hampir semua orang mempunyai audio siar sendiri. Saya juga pernah dijemput oleh bekas Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin (KJ), dalam audio siarnya.

“Sebab itu kita melihat semakin banyak audio siar muncul sehingga masyarakat menjadi keliru.

Namun akhirnya, mereka akan tahu menilai yang mana kaca dan yang mana permata,” ujarnya.

Menjelaskan lanjut mengenai cabaran dunia kewartawanan masa kini selain teknologi kecerdasan buatan (AI), beliau menegaskan bahawa cabaran tersebut turut melibatkan kehadiran self-acclaimed infl uencer atau pempengaruh yang mampu mempengaruhi cara manusia berfi kir dan bertindak.

“Dahulu, fenomena ini tidak wujud dan kini ia menjadi cabaran kepada wartawan profesional.

Golongan ini seolah-olah menjadi pakar dalam semua perkara… ini sekadar imaginasi saya, mereka mungkin memperoleh maklumat menerusi ChatGPT sebelum menulis semula seolah-olah idea itu milik mereka sendiri,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, beliau memaklumkan bahawa perkara berkenaan merupakan cabaran semasa yang bukan sahaja terhad kepada bidang kewartawanan, malah melibatkan semua sektor kehidupan, termasuk ekonomi.

“Namun, saya masih percaya bahawa otak manusia mampu mengawal otak buatan tersebut dengan syarat manusia memiliki keupayaan untuk berfi kir dan menganalisis.

“Ini kerana data yang terkumpul tidak semestinya benar.

Sebaliknya, otak manusia membaca, menilai, menganalisis dan seterusnya membuat keputusan sama ada maklumat yang diperoleh itu boleh dipercayai atau tidak,” jelasnya.

Sementara itu, percubaan pertama wartawan muda Suara Sarawak, Prisca Empiang Robin, dalam KJA membawa tuah apabila karya yang dihasilkan pada saat akhir berjaya meraih pingat gangsa.

Namun, di sebalik kejayaan tersebut, beliau mengakui bahawa proses penulisan dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa dan tanpa perancangan rapi.

Karya itu bermula daripada topik umum berkaitan kesihatan mental sebelum dikembangkan sebagai penyertaan rasmi KJA.

Idea sebenar tercetus apabila Prisca menatal semula gambar-gambar lama ketika mengikuti pengajian Asasi, yang mengingatkannya kepada seorang rakan penghidap gangguan bipolar.

Jalan cerita dibentuk dengan mencari bahan rujukan, menyusun plot serta menyiapkan tiga siri karya dalam tempoh kira-kira tiga hari sebelum tarikh tutup.

Walaupun bangga dengan pencapaian tempat ketiga, Prisca turut berasa sedikit kecewa apabila penyertaan bersama-sama rakan setugasnya tidak berjaya.

Namun, pengalaman tersebut menjadi dorongan untuk tampil lebih bersedia dan kreatif bagi penyertaan KJA 2026.

Kejayaan ini sekali gus mengangkat Suara Sarawak sebagai antara organisasi media paling menyerlah pada Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2025.

Dalam masa yang sama, kejayaan ini mencerminkan kekuatan kolektif barisan wartawan dalam menghasilkan laporan yang berkualiti, beretika dan memberi impak besar kepada masyarakat.

Untuk rekod, Suara Sarawak mula beroperasi pada 1 Mac 2019 dan hanya selepas setahun bernafas, pasukan wartawan akhbar ini memilih untuk menguji kemampuan dalam gelanggang paling kompetitif di Sarawak menerusi KJA 2020. Walaupun masih muda, hasilnya segera kelihatan.

Dalam penyertaan pertama pada 2020, Suara Sarawak berjaya meraih sebanyak 21 anugerah, meningkat kepada 30 anugerah pada tahun 2021, bertambah kepada 31 anugerah pada 2022, meraih 27 anugerah pada 2023 dan memperoleh sebanyak 24 anugerah pada tahun lalu.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU

Pilih makanan halal, berkhasiat

SOALAN: Adakah Islam mengajar umatnya supaya sentiasa memilih makanan berkhasiat? JAWAPAN: Ya, Islam mengajar umatnya supaya memilih makanan yang halal, baik dan berkhasiat demi menjaga

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan